IZHAM (tiga dari kiri) melepaskan peserta.
ANTARA halangan mencabar dilakukan peserta.
PESERTA melakukan aktiviti larian dan melepasi halangan.
MELALUI rintangan kawat berduri dan lumpur
Mohd Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my


Tasik Darulaman Park di Jitra yang selama ini damai dan hening setiap pagi dikejutkan dengan kehadiran hampir 400 peminat sukan lasak dari seluruh negara bagi mencabar diri mengharungi perlumbaan lasak Bina Darulaman (BDB) Extreme Jitra 2016, baru-baru ini

Seawal jam 6.30 pagi, peserta mula memenuhi persekitaran tasik dan bersedia dilepaskan bagi mengharungi perlumbaan sejauh tujuh kilometer.

Mereka bukan sahaja perlu berlari, tetapi wajib melalui 10 cabaran yang dibina khas bagi menguji ketahanan mental dan fizikal.

Biarpun tiada sebarang hadiah ditawarkan, ia tidak menghalang mereka bersungguh-sungguh menamatkan perlumbaan dan dinobatkan sebagai peserta kejohanan.

Ketua Pegawai Eksekutif BDB) Datuk Izham Yusoff berkata, perlumbaan yang pertama kali diadakan di utara semenanjung itu diadakan sebagai langkah mempromosikan sukan pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

“Peserta perlu melepasi halangan yang dibuat khas untuk cabaran kali ini. Antaranya lari dalam tayar, ‘monkey bar’, lompatan api dan berendam di kolam yang dimasukkan air batu.

“Secara tidak langsung, ia dapat mempromosikan Darulaman Park yang diuruskan BDB sebagai destinasi riadah serba lengkap di daerah Kubang Pasu,” katanya ketika ditemui selepas berkaya menamatkan perlumbaan bersama peserta lain.

Perlumbaan itu bahagian kedua daripada tiga siri kejohanan BDB Triple Challenge 2016 dan kemuncaknya bakal diadakan November depan.

Peserta, Nuraliah Shukri 18, berkata, biarpun pertama kali menyertai perlumbaan lasak itu, dia teruja kerana dapat mencabar diri ke tahap tidak dijangkakan.

“Walaupun kebanyakan halangan tidak sesuai dengan tubuh saya yang kecil, dorongan teman peserta lain membuatkan saya berjaya menamatkan perlumbaan,” kata gadis berasal dari Jitra itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 12:30 PM