Kereta yang terjunam ke dalam lubang di tapak pembinaan di Bulatan Kampung Pandan 10 malam tadi. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Lelaki parah selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam lubang sedalam 10 meter di tapak pembinaan di Bulatan Kampung Pandan, di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Shamsul Maarif Saibani berkata, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu bersama empat jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, mangsa, Chandran Sekaran K Mohan, 55, terperangkap di tempat duduk pemandu di dalam kereta model Kia Spectra berkenaan.

"Kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, pemandu itu melanggar penghadang jalan sebelum kereta dipandunya terjunam ke dalam lubang di tapak pembinaan itu.

"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 1:08 AM