Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat (dua kiri) menunjukkan barang yang dirampas daripada penyamun menyamar polis. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
BERNAMA

Shah Alam: Polis menumpaskan satu kumpulan menyamar sebagai polis dan menyamun warga asing di daerah ini dengan tertangkapnya empat lelaki di Jalan Bendahara, Klang, dekat sini, pada 15 September lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, semua suspek berumur antara 28 hingga 38 tahun itu ditahan kira-kira 3 petang selepas menyamun dua lelaki warga asing di sebuah hentian bas di Lebuhraya Persekutuan.

Katanya tangkapan berkenaan hasil maklumat orang awam yang melihat kejadian kira-kira 11 pagi, hari yang sama.

Seorang daripada suspek dikatakan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menarik seorang warga asing masuk ke dalam kereta Perodua Viva.

Menurut Shafien, selepas menyamun mangsa pertama, semua suspek kembali ke hentian bas yang sama dua jam selepas itu dan menyamun mangsa kedua.

“Kereta berkenaan didapati milik sebuah syarikat kereta sewa yang dilengkapi GPS," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan bantuan syarikat kereta sewa itu, pihaknya berjaya mengesan kedudukan kereta berkenaan dan membuat tangkapan.

"Turut dirampas daripada suspek ialah beberapa telefon bimbit dan wang tunai dipercayai hasil samun.

"Menerusi tangkapan ini, kami percaya dapat menyelesaikan lima kes samun warga asing di sekitar daerah ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 9:01 PM