Ridzuan dengan aksi tersendiri ketika diraikan.FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Aida Adilah Mat dan Azlan Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my


Sepang: Sambutan meriah diberikan kepada wira paralimpik negara sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Pesawat yang membawa 21 atlet paralimpik negara diberikan penghormatan "water salute" sejurus tiba jam 3.05 petang.

Ia diteruskan dengan sambutan meriah membabitkan kira-kira 1,000 penyokong di Kompleks Bunga Raya diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambutan dimeriahkan dengan pelbagai kain rentang yang mengucapkan tahniah kepada atlet negara yang mengharumkan nama negara.

Malah ia turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang perak acara terjun Pandelela Rinong, jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang yang memenangi gangsa Olimpik Rio dan Fatehah Mustapa.

Kontinjen paralimpik melakar sejarah membawa pulang tiga emas dan sebutir gangsa dari Sukan Paralimpik Rio.

Tiga emas negara dimenangi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan Abdul Latif Romly (acara lompat jauh T20) manakala Siti Noor Radiah Ismail yang meraih gangsa dalam lompat jauh T20.

Sejurus kemudian kontinjen paralimpik negara meninggalkan Kompleks Bunga Raya untuk dibawa ke pusat bandar di Jalan Tun Razak menyusuri Jalan Bukit Bintang dan Jalan Ampang bagi memulakan perarakan menggunakan bas.

Mereka berhenti di KLCC dan Pavilion bagi meraikan mereka dan perarakan dijangka berakhir di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 7:45 PM