Anggota polis membawa tiga suspek warga Vietnam untuk perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegara mereka di Mahkamah Majistret Kulim. FOTO AZAHAR HASHIM
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


Kulim: Lelaki Vietnam mati ditikam rakan serumahnya selepas mereka dipercayai bertengkar di sebuah rumah di Jalan Kampung Pondok Labu Kulim, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam, mangsa Nguyen Van Thin,28, mati selepas terkena satu tikaman di dada kirinya oleh suspek berusia 30 tahun.

Menurut sumber, ketika kejadian, dua rakan mangsa berusia 33 dan 36 tahun turut berada di dalam rumah berkenaan dan semua mereka bekerja sebagai buruh dan menyewa di kampung itu.

"Berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai baru pulang dan selepas beberapa ketika berada di dalam rumah, berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek.

"Pertengkaran itu berlarutan sehingga secara tiba-tiba suspek terus menikam mangsa mengunakan objek tajam dipercayai sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri.

"Mangsa terus rebah dan rakan yang lain terkejut dengan kejadian itu kemudian memghubungi pihak polis serta ambulans," kata sumber itu.

Sumber berkata, kakitangan perubatan yang tiba untuk kemudian mengesahkan mangsa sudah mati di tempat kejadian dan kes diserahkan kepada pihak polis.

Kata sumber,pihak polis yang menjalankan siasatan kemudian menahan tiga lelaki warga Vietnam di tempat kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam untuk siasatan lanjut dan mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintandan Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tiga suspek kini ditahan reman sehingga 27 September depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 5:07 PM