Pasukan penyelamat mengangkat mayat warga Mesir yang ditemui di perairan Pulau Rebak, Langkawi, tengah hari tadi - FOTO Ihsan Bomba
Hamzah Osman dan Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Lelaki warga Mesir yang dilaporkan hilang di laut sejak Isnin lalu ditemui lemas di perairan Pulau Rebak, Langkawi, di sini, 1.40 tengah hari tadi.

Mayat Yahya Yousry Mohamad Al-Sayid, 27,ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah pada hari keempat operasi pencarian dilakukan.

Ketua Zon 4 Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Fadzullah Mohd Noor berkata, operasi membabitkan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan satu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Langkawi dan tiga pegawai.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 3.7 batu nautika dari tempat dia terjatuh.

"Operasi disambung semula pada 7.30 pagi tadi sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira tujuh jam kemudian.

"Mayat mangsa akan diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Langkawi untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian 4 petang Isnin lalu, Yahya Yousry dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari balkoni tempat penginapannya, di Pantai Kok, Langkawi.

Susulan laporan dibuat isteri mangsa, gerakan SAR dilakukan serta-merta membabitkan pelbagai agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia selain penggunaan helikopter jenis AW139 milik JBPM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 3:38 PM