Mohd Saifudin diberikan rawatan. FOTO ihsan TLDM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


Kuantan: Nelayan yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu ditemui selamat di perairan Pulau Tioman, Rompin petang tadi.

Mangsa, Mohd Saifudin Mamat, 32, ditemui pada 3.30 petang dalam keadaan berpaut pada pelampung keselamatan di kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Tioman oleh nelayan tempatan.

Menurut kenyataaan yang dikeluarkan Markas Wilayah 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)Tanjung Gelang, di sini, mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan berpaut pada pelampung keselamatan.

"Nelayan yang menemui mangsa memaklumkan kepada kita ketika usaha Inisiatif Bertanya Khabar (IBK) dengan bot nelayan di sekitar kawasan pencarian dilakukan.

"Kita membawa mangsa ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang sebelum diserahkan kepada Maritime Rescue Sub Centre Kuantan (MRSC) untuk tindakan lanjut," katanya.

Mangsa dilaporkan hilang pada 11 malam 15 September lalu selepas terjatuh dari bot ketika mangsa sedang membaiki pukat di perairan itu.

Mangsa yang berasal dari Endau, Rompin dikatakan terjatuh bersama pelampung keselamatan dan gagal diselamatkan rakannya.

Operasi pencarian dimulakan pada Jumaat lalu di bawah koordinasi MRSC Kuantan membabitkan agensi seperti TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:02 PM