Kuala Lumpur: Singer (Malaysia) Sdn Bhd menyasarkan jualan sebanyak 5,000 unit produk penapis air, Singer LifeStraw Home 1.0 Water Filter di pasaran tempatan dalam tempoh setahun.

Produk itu adalah hasil kajian syarikat dari Switzerland, Vestergaard yang mula memasarkannya di seluruh dunia sejak dua tahun lalu yang mana ia mampu menapis air kotor menjadi bersih untuk diminum pengguna.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Pemasaran Singer, Ng John Kit berkata, Singer LifeStraw Home 1.0 Water Filter didatangkan dengan dua pilihan iaitu bersaiz 18 liter dan 650 mililiter.

Beliau berkata, pihaknya optimis untuk mencatatkan sasaran jualan berkenaan bersandarkan kemampuannya yang mempunyai keunikan sistem penapisan air tanpa perlu bergantung kepada pemasangan elektrik atau pempaipan serta harga mampu milik.

“Berbanding dengan penapis air di pasaran ketika ini memerlukan sistem pemasangan elektrik yang mana ia memberi penambahan kos kepada pengguna untuk mendapatkan air bersih.

“Singer LifeStraw Home 1.0 Water Filter adalah sistem yang diperakui oleh pelbagai badan antarabangsa antaranya Pertubuhan Kesihantan Sedunia (WHO) yang mana air dihasilkan selepas melalui sistem tapisan ini selamat untuk diminum,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Singer LifeStraw Home 1.0 Water Filter terbukti mampu membuang pada tahap minimum 99 peratus bakteria, virus dan Protozoa dalam air tercemar itu dijual pada harga RM299 bagi bersaiz 18 liter dan RM119, 650 mililiter.

Bagi mempromosikan Singer LifeStraw Home 1.0 Water Filter bersaiz 18 liter di pasaran tempatan, Singer menawarkan baucer RM49 untuk pembelian penapisnya yang dijual pada harga biasa RM100 seunit kepada pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 8:00 AM