IZHAM Hakimi (dua dari kiri), Nur Diana (dua dari kanan) dan Mohd Latip (kiri) pada majlis perasmian kafe O’ My Buns!.
Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor
norfaezah@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: DIIZ OMB Sdn Bhd, pengurus rangkaian Naza Tutti Frutti (M) Sdn Bhd optimis jenama baru rangkaian francais pastri O’ My Buns! yang baru diperkenalkannya mampu menembusi pasaran Malaysia dengan pegangan yang kukuh dalam pasaran francais negara tidak lama lagi.

Ketika ini pihaknya baru memulakan operasi makanan dalam bentuk doh itu sejak Oktober lalu apabila melihat potensi untuk berkembang dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.

Pengarah Urusannya Izham Hakimi Hamdi berkata, pihaknya menjangkakan operasi seterusnya di One Utama pada suku pertama tahun depan dengan anggaran modal perbelanjaan kira-kira RM200,000 dan ke atas.

Kata Izham Hakimi, pihaknya yang memegang lesen francaisi ketika ini sedang mengkaji lokasi dan pasaran bersesuaian di sekitar Lembah Klang sebelum menembusi pasaran lain.

“Kita mahu jenama O’ My Buns! dikenali dan akan menjalankan strategi pemasaran di sekitar Lembah Klang dan menjangkakan sekurang-kurangnya lima cawangan dibuka tahun depan dan berhasrat untuk mempunyai sebanyak 15 cawangan pada 2016.

“Syarikat sudah mendapat permohonan daripada pihak yang berminat untuk membawa jenama ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Naza Group Nur Diana SM Nasimuddin, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd Latip Sarrugi, Setiausaha Agung MFA, Mohamad Shukri Salleh dan Pengurus Besar MFA Ahmad Faizal Mohamed Noor.

Beliau berkata, selain melihat sudut membuka cawangan dan kiosk di bawah O’ My Buns! syarikat juga melihat peluang membuka operasi bersama cawangan Tutti Frutti sedia ada supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih lengkap kepada pelanggan.

“Seperti operasi pertama di Taman Tun Dr Ismail, kita membawa jenama O’ My Buns! ke dalamnya dan kita akan lihat keperluan jika ia adalah langkah bersesuaian untuk cawangan seterusnya,” katanya.

Izham berkata, syarikat melihat peluang untuk terus menjengah industri F&B khusus bagi makanan dalam bentuk doh untuk terus berkembang di Malaysia dalam tempoh jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 7:59 AM