INDRA Wijaya (kanan) bersama Morten Frost .
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bukan Hendrawan tetapi Indra Wijaya, bakal memainkan peranan penting dalam membentuk serta melahirkan pemain perseorangan lelaki negara setaraf Datuk Lee Chong Wei.

Perkara itu diakui Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen selepas ditanya mengenai kenyataan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang mencabar Hendrawan melahirkan seorang pemain perseorangan lelaki berkaliber.

“Peranan utama Hendrawan adalah melatih Chong Wei. Bagaimanapun, beliau tetap akan memainkan peranan dengan semua pemain perseorangan BAM,” kata Frost ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya, sekarang ini Indra sedang menjalankan tugas dengan baik dalam membentuk pemain pelapis perseorangan lelaki negara sejak berkhidmat dengan BAM awal tahun ini.

“Indra melakukan tugas dengan baik bersama semua pemain muda,” kata legenda perseorangan lelaki Denmark itu.

Sentuhan Indra mula menampakkan hasil apabila membentuk pemain perseorangan lelaki negara, R Satheishtharan yang muncul juara Siri Antarabangsa Singapura awal bulan ini.

Selain Satheishtharan, Indra juga melatih enam pemain muda negara membabitkan Cheam June Wei, Chin Wai Kin, Tan Jia Wei, Lee Zii Jia, Yeoh Seng Zoe dan Muhammad Syafiq Ahmad Sanusi.

“Saya percaya Indra mempunyai kemampuan melahirkan pemain setaraf Chong Wei, cuma beliau perlu diberikan masa. Saya gembira dengan peningkatan ditunjukkan pemain di bawah kendaliannya sejak menjadi jurulatih.

“Saya percaya pemain muda kita berada di landasan tepat untuk menghasilkan keputusan positif selepas ini. Hendrawan akan terus melatih Chong Wei tapi dalam masa sama dia juga ada beberapa pemain lain untuk dilatih dalam usaha menjadikan mereka bertaraf dunia.

“Chong Wei sudah memaklumkan dia mahu bermain Kejohanan Dunia (di Glasgow, Scotland tahun depan), jadi saya mahu Hendrawan membantunya,” kata Frost.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 10:02 AM