BALE (tengah belakang), Ronaldo (dua dari kanan) kembali berlatih.
Reuters

Barcelona: Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale akan kembali beraksi ketika Real Madrid menentang Villarreal, esok, kata jurulatih Zinedine Zidane.

Ronaldo yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Real, tidak bermain ketika pasukannya menang 2-0 ke atas Espanyol akibat demam manakala Bale pula berdepan masalah pinggul dialami ketika menentang Sporting Lisbon.

“Mereka berdua sudah cergas. Mereka berlatih dengan baik dan berada pada tahap 100 peratus,” kata Zidane pada sidang akhbar menjelang pertemuan menentang Villarreal.

Kehadiran semula Bale dan Ronaldo bermakna Zidane boleh menurunkan kesebelasan utamanya termasuk tiga penggempur berbisa - Bale, Ronaldo dan Karim Benzema - buat kali pertama musim ini.

Pertahanan veteran Pepe, bagaimanapun tidak beraksi akibat kecederaan manakala penjaga gol Keylor Navas masih belum sembuh daripada pembedahan Achilles.

Real menduduki tangga teratas La Liga dan muncul satu-satunya pasukan liga utama yang menang semua empat perlawanan awal.

Walaupun menyamai rekod 16 kemenangan berturut-turut pada aksi La Liga selepas mengalahkan Espanyol, skuad kendalian Zidane itu tetap dikritik media Sepanyol kerana aksi tidak konsisten yang mereka pamerkan.

Juara Eropah itu terpaksa menunggu hingga minit ke-89 untuk menyamakan kedudukan dan menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan ketika mengalahkan Sporting minggu lalu dan sedikit bergelut pada perlawanan menentang Espanyol sebelum Benzema memberikan tiga mata buat pasukannya.

Zidane bagaimanapun enggan melayan komen negatif terbabit.

“Kritikan adalah lumrah di sini. Anda perlu sedar bahawa tidak kira sama ada sebagai pemain atau jurulatih di sini, anda bakal berdepan jangkaan tinggi. Ini adalah perkara yang akan anda lalui apabila bersama Real Madrid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:28 AM