SEBAHAGIAN karya seni finalis yang dipamerkan dalam satu pameran berkumpulan di The Boulevard, Publika.
‘YAKBOTE’ hasil kerja tangan pemenang tempat ketiga kategori seni halus Nik Mohd Shahfiz.
KARYA kreatif naib juara kategori seni digital Syed Muhammad Iftah bertajuk ‘Inside The Box’.
BOON Han menjuarai kategori seni digital turut membawa pulang RM5,000 wang tunai.
SITI Nor Hidayah bersama hasil karya bertajuk ‘Drama Tragedi’.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Nando’s sekali lagi membawakan Inisiatif Seni Nando’s yang mula membuka tirai penyertaan tahun ini pada Mac lalu.

Inisiatif Seni Nando’s 2016 (NAI 2016) yang sudah masuk edisi kesembilan itu adalah satu usaha bertujuan mencungkil bakat seni anak muda sebagai pelapis dalam menyemarakkan lagi arena seni tempatan.

Sebanyak 931 penyertaan iaitu 618 penyertaan bagi kategori seni halus dan 313 penyertaan bagi kategori seni digital diterima pada tahun ini terdiri daripada pelajar lebih 60 kolej serta universiti di seluruh negara.

Selepas dua bulan meneliti dan mengadili karya seni yang pelbagai, menawan serta mempunyai cerita tersendiri, akhirnya NAI 2016 mengumumkan pemenang bagi kategori seni halus dan kategori seni digital, baru-baru ini.

Pemenang tempat pertama kategori seni halus dengan karya bertajuk ‘Drama Tragedi’ dimenangi Siti Nor Hidayah Mohamad Mokhtar yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan baucar Nando’s bernilai RM500 serta peluang mengadakan pameran solo.

Kategori seni digital pula dijuarai Yau Boon Han dengan karya berjudul ‘Jungle Boy’ dan turut membawa pulang hadiah sama.

Pertandingan tahun ini membariskan panel juri terkemuka dan tidak asing lagi seperti Hakim Alias, Chong Fei Giap, pemenang NAI tahun lalu Najib Ahmad Bamadhaj serta Ketua Pegawai Eksekutif Nando’s Chickenland Malaysia Sdn Bhd Stephen Chew dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando’s Chickenland Malaysia dan Singapura Mac Chung Lynn.

Menurut Chung Lyn, pertandingan kali ini masih mengekalkan tema ‘Seni Anda, Kisah Anda’ kerana ia adalah tema mampu mencabar peserta yang terdiri daripada artis muda.

“Walaupun tema yang diketengahkan mencabar, peserta mampu menghasilkan karya yang memberi inspirasi serta merangsang fikiran.

“Bukan mudah untuk mengadili semua karya seni hebat yang dikemukakan dalam pertandingan dan setiap pengadil begitu kagum dengan bakat yang ditonjolkan,” katanya.

Bagi menghargai pencapaian finalis, Nando’s menganjurkan pameran berkumpulan bertujuan menonjolkan karya untuk tatapan ramai.

Pameran seni berkenaan menjadi bukti komitmen Nando’s terhadap senario seni tempatan dan pameran diadakan dalam dua peringkat iaitu peringkat pertama dijalankan The Boulevard, Publika, Kuala Lumpur pada awal September lalu.

Peringkat kedua pula membawa karya seni yang sama ke ruang seni Nando’s sendiri bertempat di Lot 123 Chinatown berlangsung dari 27 September hingga 24 Oktober 2016.

Pengadilan semua karya adalah berdasarkan keaslian, daya kreatif, penceritaan, konsep, idea, kualiti reka bentuk dan gubahan, penggunaan medium dan kemasan artistik serta kesan keseluruhan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Inisiatif Seni Nando’s, sila layari www.nandos.com.my/artinitiative.

INFO

SENARAI PENUH PEMENANG:

1. Kategori seni halus

- Juara: Siti Nor Hidayah Mohamad Mokhtar

- Tempat kedua: Haz Yusup

- Tempat ketiga: Nik Mohd Shahfiz Nik Shairozi

- Sagu hati: Lim Si Ting, Muhammad Suhaimi Ali dan Wan Yin Khei

2. Kategori seni digital

- Juara: Yau Boon Han

- Tempat kedua: Syed Muhammad Iftah Syed Abdillah

- Tempat ketiga: Chan Hsieh Hua

- Sagu hati: Naim Harith Saiful Bahrin, Yong Yeat Fhan dan Teow Hai Way

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 8:09 AM