KAITAN dengan imunisasi adalah mitos terbesar dalam bidang perubatan.

Setiap tahun, vaksin menyelamatkan nyawa lebih 2.5 juta orang dan mencegah 750,000 lagi daripada mengalami kecacatan.

Imuniti adalah cara tubuh mencegah penyakit. Sistem imun akan mengenal pasti kuman yang masuk ke dalam tubuh (dipanggil antigen) dan menghasilkan protein dipanggil antibodi untuk melawan kuman. Sering kali, sistem imun tidak cukup pantas untuk mencegah antigen daripada menyebabkan penyakit dan ini mengakibatkan kanak-kanak jatuh sakit.

Namun, sistem imun akan menyimpan data mengenai sesuatu antigen dan sekiranya antigen itu muncul semula, tubuh sudah bersedia dan akan bertindak balas lebih pantas untuk menghalang sebarang jangkitan. Perlindungan ini dipanggil imuniti.

Mengapa vaksin?

- Imunisasi rutin kanak-kanak melindungi anak anda daripada penyakit serius seperti tuberkulosis, hepatitis B, difteria, pertusis, tetanus, influenza, demam campak, beguk dan rubela.

- Imunisasi melindungi kanak-kanak daripada penyakit serius dan komplikasi penyakit yang sesetengah kes boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian.

- Ada penyakit yang juga boleh menyebabkan kecacatan berpanjangan dan beban kewangan disebabkan tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga ahli keluarga yang mempunyai kecacatan jangka panjang.

Apakah imuniti kelompok?

Imuniti kelompok adalah imuniti yang diperoleh apabila ramai anggota masyarakat mengambil vaksin dan ia secara tidak langsung dapat memberi perlindungan kepada individu atau kanak-kanak yang tidak boleh menerima suntikan vaksin.

Apabila ramai mengambil vaksin atau imunisasi, ia akan menjadikan bakteria atau virus sukar merebak. Ini kaedah berkesan menghentikan penyebaran penyakit dalam masyarakat. Langkah ini penting bagi melindungi golongan yang tidak boleh diberikan vaksin contohnya pesakit kanak-kanak yang ada masalah imun atau terlalu lemah seperti pesakit kanser. Untuk lebih faham, rujuk rajah 2.

Apakah PIK?

PIK ialah singkatan bagi Program Imunisasi Kebangsaan. Ia satu senarai imunisasi rutin yang disarankan bagi kanak-kanak dan perlu diambil tanpa pengecualian! Vaksin diberi secara percuma dan boleh didapati di semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan terpilih. (Rajah 3)

Mengapa begitu banyak?

Sistem imun manusia sememangnya kuat dan boleh mengendalikan lebih banyak antigen daripada beberapa antigen lemah yang terdapat dalam vaksin. Malah, setiap hari tubuh manusia dimasuki begitu banyak antigen dari udara, air dan persekitaran.

Adakah terdapat kesan sampingan?

Vaksin dihasilkan mengikut piawaian keselamatan paling tinggi dan ketat. Namun, sejumlah kecil orang mungkin mengalami kesan sampingan ringan. Jarang sekali berlaku kesan sampingan serius seperti tindak balas alahan.

Namun, kita perlu ingat mana-mana intervensi perubatan mempunyai risiko.

Bagaimanapun, menolak bulat-bulat imunisasi atas alasan anda ingin mengelakkan risiko adalah tidak munasabah kerana tidak berbuat apa-apa juga mempunyai risikonya yang tersendiri!

Adakah vaksin menyebabkan autisme?

Kaitan antara autisme dan imunisasi (terutama vaksin MMR) adalah mitos terbesar dalam bidang perubatan. Penyelidik berulang kali memaparkan kepalsuan hubung kait antara vaksin MMR (Measles, Mumps and Rubella) dan autisme.

Kajian terkini yang merujuk kepada 67 artikel saintifik berkualiti tinggi merumuskan bahawa imunisasi tidak menyebabkan autisme. Hakikat ini juga disahkan oleh agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan CDC.

Memberi imunisasi kepada anak anda membantu melindungi mereka daripada pelbagai penyakit kanak-kanak yang serius, malah ada antaranya boleh mengancam nyawa.

Tidak diragukan lagi vaksin adalah pilihan terbaik bagi anak anda dan masyarakat keseluruhannya.

Buat keputusan yang betul dan berjumpa dengan doktor anda hari ini untuk keterangan lanjut mengenai imunisasi.

Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika

Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

Artikel ini juga disokong oleh geran pendidikan daripada Sanofi Pasteur. Pendapat dalam artikel ini ialah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 5:20 AM