Serbuan di salah sebuah rumah.
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


Ipoh: Polis Perak berjaya selamatkan 12 wanita, tiga kanak-kanak dan seorang bayi yang dipercayai dijadikan pengemis selepas menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di kawasan Greentown Business Centre, di sini, jam 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, polis menjalankan risikan dan pemerhatian di kawasan Greentown Business Centre, di sini dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Exora sedang mengambilbeberapa wanita dipercayai warga asing yang dijadikan pengemis di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, polis kemudiannya mengekori suspek sehingga ke Taman Sri Berjaya di sini sebelum menahan lelaki berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga wanita warga Indonesia di dalam kereta berkenaan.

"Pemeriksaan seterusnya dijalankan di rumah berkenaan menemui lapan lagi wanita di luar rumah dalam keadaan keletihan dan hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan di sebuah lagi rumah di Chemor," katanya.

Tian Kee berkata, polis berjaya menemui seorang wanita warga Indonesia dan empat kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga lima tahun.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Exora berwarna merah, wang tunai berjumlah RM2,689, pasport, 50 plastik besar kerepek serta dua sijil kelahiran kanak-kanak disyaki palsu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 9:25 PM