PEGAWAI keselamatan berpakaian preman mengiringi murid yang diselamatkan dari sekolah bersebelahan.
ANTARA beberapa pelajar yang cedera yang dibawa ke hospital dengan ambulans.
SEORANG lelaki meratap di sisi mayat anaknya yang terbunuh dalam kejadian itu.
BEBERAPA mayat pelajar yang terbunuh dihantar di sebuah hospital di Peshawar sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
AFP

Peshawar

Kumpulan Taliban semalam menyerang sebuah sekolah yang dikendalikan tentera Pakistan di sini dan menembak mati sekurang-kurangnya 130 orang, kira-kira 100 daripadanya kanak-kanak dalam serangan paling buruk di negara itu.

Menurut saksi, letupan kuat menggegarkan Sekolah Awam Tentera di Peshawar sebelum beberapa lelaki bersenjata dilihat pergi ke setiap bilik darjah dan menembak pelajar di dalamnya.

Kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu yang dikatakan untuk membalas serangan tentera terhadap kedudukan mereka.

Serangan bermula pada jam 10.30 pagi (1.30 petang waktu Malaysia) apabila sekurang-kurangnya enam lelaki berpakaian seragam tentera memasuki pekarangan sekolah berkenaan.

Ibu pejabat tentera Pakistan berkata, pihaknya melancarkan operasi menyelamat dan anggota tentera berbalas tembakan dengan penyerang terbabit lebih tiga jam selepas serangan bermula.

Polis berkata, operasi menyelamat itu berakhir lewat malam dengan enam penyerang berklenaan terbunuh.

“Operasi menyelamat sudah berakhir. Enam mayat pengganas ditemui dalam bangunan sekolah,” kata pegawai kanan polis, Abdullah Khan kepada wartawan.

Dalam pada itu, ketua jurucakap tentera Jeneral Asim Bajwa berkata, bahan letupan yang dipasang penyerang berkenaan menyulitkan usaha melakukan ‘pembersihan.’

Menurutnya, pasukan tentera berjaya menyelamatkan puluhan kakitangan dan pelajar.

Sebelum itu, seorang pegawai berkata, ratusan pelajar dan kakitangan sekolah berada di dalam bangunan itu.

Jurucakap Hospital Lady Reading Peshawar Jamil Shah berkata, pihaknya menerima 26 mayat manakala Combined Military Hospital mengatakan ia menerima 69 mayat.

Menteri penerangan wilayah Mushtaq Ghani berkata, kebanyakan mangsa terbunuh akibat letupan bom.

Sementara itu, pembantu makmal fizik sekolah berkenaan, Mudassar Abbas berkata, beberapa pelajar mengadakan parti ketika serangan dilakukan.

“Saya melihat enam atau tujuh lelaki pergi dari kelas ke kelas dan menembak pelajar,” katanya.

Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian itu berkata, dia dan beberapa rakan diselamatkan anggota tentera ketika tembakan terhenti seketika.

“Ketika keluar dari kelas kami melihat mayat beberapa rakan kami terbujur di koridor. Semuanya berlumuran darah dan ada yang ditembak tiga atau empat kali.

“Kumpulan bersenjata itu menembak kakitangan sekolah dan pelajar tanpa belas,” katanya.

Sekolah itu sebahagian daripada rangkaian sekolah disediakan pihak tentera di seluruh negara untuk anak tentera dan orang awam dengan pelajarnya berusia antara 10 hingga 18 tahun.

Sementara itu, jurucakap Taliban Pakistan, Muhammad Khorasani berkata enam anggotanya terbabit dalam serangan itu.

“Mereka termasuk penyerang berani mati dan diberi arahan menembak pelajar senior, bukan kanak-kanak.

“Ini serangan balas kami terhadap operasi Zarb-e-Azab dan pembunuhan terhadap pejuang Taliban dan keluarga mereka,” katanya.

Zarb-e-Azb adalah gelaran rasmi mengenai serangan tentera terhadap pangkalan Taliban dan militan lain di Waziristan Utara.

Lebih 1,600 militan dipercayai terbunuh sejak Zarb-e-Azb dilancarkan Jun lalu.

Sementara itu, jeneral bersara dan penganalisis keselamatan Talat Masood berkata, serangan itu bertujuan melemahkan semangat tentera.

“Ia perbuatan taktikal dan strategik. Pihak militan tahu mereka tidak mungkin mampu melemahkan tentera secara langsung jadi mereka melakukan serangan yang menyasarkan kesan psikologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:14 AM