KANAK-KANAK kecil perlukan tidur lebih 10 jam sehari untuk elak risiko obesiti ketika remaja.
PENGGUNAAN gajet pintar yang tidak dikawal boleh jejaskan waktu tidur anak.
KANAK-KANAK yang cukup tidur lebih cergas dan terhindar daripada masalah obesiti.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my

Jawapan yang diberikan anak saudara apabila si ayah menyuruh mereka tidur awal (pada jam 10 malam) ketika musim cuti sekolah ini membuat penulis tersenyum. Mana tidaknya, suruhan itu dipatuhi dan mereka dengan segera masuk ke bilik tidur serta memadamkan lampu. Walaupun berbaring di atas katil tetapi tiada yang lelap, sebaliknya leka melayani telefon pintar masing-masing di balik selimut dan bantal.

Memang cuti sekolah adalah masa untuk melanggar kebanyakan peraturan yang ditetapkan sepanjang sesi persekolahan terutama dalam aspek tempoh menonton televisyen, penggunaan komputer dan gajet pintar, melayari Internet dan waktu tidur.

Malah ada ibu bapa yang memberi kelonggaran sepenuhnya kepada anak-anak dalam menentukan aktiviti harian mereka ketika cuti sekolah ini asalkan semuanya berada di rumah.

Diakui bukan mudah untuk memenuhi selera anak moden yang rata-rata mengadu bosan jika berpisah dengan gajet pintar mereka. Kanak-kanak moden lebih berselera menjamu mata dengan pelbagai aplikasi di Internet daripada melakukan aktiviti yang memerlukan pergerakan. Malah puluhan saluran televisyen yang menghidangkan pelbagai rancangan menarik juga dianggap membosankan.

Kecenderungan ini akan memberi kesan kepada waktu tidur mereka. Leka melayan gajet pintar membuatkan ramai kanak-kanak tidur lewat dan liat apabila dikejut untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Kajian terbaru menunjukkan kekurangan tidur pada kanak-kanak tidak hanya membuat mereka berasa letih dan mengantuk pada waktu siangnya malah ia turut dikaitkan dengan risiko obesiti.

Penyelidik membuat analisis ke atas 1,900 remaja di England dan mengikuti perkembangan mereka selama 15 tahun. Dalam pemerhatian itu didapati kanak-kanak yang tidur selama lima hingga enam jam sehari mempunyai risiko 60 hingga 100 peratus untuk mengalami masalah kegemukan apabila mereka mencecah umur 15 tahun.

Menurut penyelidik, bagi kanak-kanak berusia lima atau enam tahun, tempoh tidur malam kurang daripada 10.5 jam dianggap terlalu sedikit (tidak mencukupi).

Bagaimanapun berdasarkan kajian ini, bagi kanak-kanak yang lebih besar, kekurangan tidur dikatakan tidak akan meningkatkan risiko mereka mengalami masalah berat badan berlebihan.

Bahkan penyelidik mendapati risiko untuk mengalami masalah obesiti itu ada kaitan dengan masalah pernafasan ketika tidur seperti berdengkur dan apnea tidur. Kebarangkalian kanak-kanak yang ada masalah pernafasan ketika tidur yang teruk untuk mengalami obesiti adalah dua kali lebih tinggi apabila mereka mencecah umur tujuh, 10 dan 15 tahun.

Menurut ketua penyelidik, Dr Karen Bonuck, pensyarah perubatan keluarga dan sosial yang juga pakar sakit puan dan kesihatan wanita di Kolej Perubatan Albert Einstein di New York, sejak dulu sudah diketahui bahawa kekurangan tidur memang meningkatkan risiko obesiti pada kanak-kanak.

"Malah kita juga tahu bahawa perjalanan ke arah obesiti juga bermula ketika kecil. Penyelidikan ini mengukuhkan lagi kes penemuan yang mengatakan kekurangan tidur dan masalah pernafasan ketika tidur terutama sewaktu kecil akan meningkatkan risiko seseorang mengalami obesiti apabila remaja kelak," katanya.

Beliau menegaskan, daripada penemuan ini ibu bapa perlulah mengenal pasti masalah yang dialami oleh anak masing-masing supaya si kecil boleh diberikan rawatan sewajarnya sekali gus mencegah obesiti. Apatah lagi ketika ini isu obesiti kanak-kanak sudah menjadi masalah sejagat dan semakin membimbangkan.

Di Amerika Syarikat saja, kadar obesiti kanak-kanak sudah menjengah ke 17 peratus yang disumbangkan pelbagai faktor seperti gaya hidup tidak aktif, kurang bersenam dan terlebih makan. Kini kekurangan tidur akan membantu mempercepatkan lagi peningkatan kadar obesiti kanak-kanak termasuk di negara kita.

Diharap dengan adanya ibu bapa yang bersikap proaktif dan memberi perhatian sewajarnya kepada anak-anak, dapat membantu menangani pelbagai masalah kesihatan yang bakal dihadapi mereka.

Antara punca masalah pernafasan ketika tidur yang paling lazim pada kanak-kanak ialah pembengkakan tonsil atau adenoid. Masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah iaitu melalui pembedahan pembuangan tonsil. Selain itu ia juga boleh disebabkan oleh jajaran tulang rahang dan gigi yang tidak betul yang boleh dibantu dengan penggunaan alat ortodontik.

Jika anak anda kini sudah mengalami masalah berat badan, anda perlu memberi lebih perhatian kepadanya. Jika diperhatikan kanak-kanak yang tidur lewat akan cenderung untuk makan lebih pada waktu malam yang turut menjadi penyumbang kepada pertambahan berat badannya.

Ada banyak cara yang boleh digunakan untuk memastikan anak anda tidur awal. Antara yang disarankan kebanyakan pakar ialah:

-Tetapkan waktu tidur untuk anak-anak (pastikan ia dipatuhi walaupun pada musim cuti). Bagaimanapun anda boleh beri kelonggaran sekali sekala untuk mereka tidur lewat.

-Tetapkan waktu bangun tidur. Ini latihan yang amat baik untuk mengajar mereka berdisiplin dan anda tidak mengalami masalah mengejutkan mereka bangun apabila sesi sekolah bermula kelak.

-Tutup televisyen dan hentikan penggunaan komputer atau sebarang gajet dua jam sebelum waktu tidur untuk menenangkan fikiran serta perasaan mereka.

-Kurangkan tekanan pada anak-anak terutama sebelum waktu tidur. Jika anda geram dengan tingkah laku mereka, simpan perasaan itu dan luahkan rasa kurang senang anda itu keesokan harinya atau apabila anda berasa tenang.

-Pastikan keadaan bilik tidur selesa. Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga sukar untuk menenangkan fikiran sebelum menutup mata pada waktu malam. Jika anak kelihatan resah, anda boleh menemankan anak tidur.

-Perhatikan jika anak anda ada masalah yang boleh menjejaskan tidurnya. Jika ada, bawalah anak berjumpa doktor untuk tindakan selanjutnya.

Ketahuilah bahawa kanak-kanak yang cukup tidur sebenarnya lebih cergas, cerdas dan kurang meragam. Rasa mengantuk pada siang hari membuatkan kanak-kanak berasa malas, kurang berminat terhadap pelbagai aktiviti dan nampak tidak bersemangat.

Jadi, tunjukkan kasih sayang anda kepada anak-anak dengan meneruskan peraturan yang diamalkan selama ini. Tidak salah untuk bersikap tegas sedikit demi kebaikan mereka. Bagi penulis, tidak mengapa jika mereka menangis hari ini, daripada ibu bapa yang menangis di kemudian hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:10 AM