Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Seorang lelaki Indonesia berusia 36 tahun, ditahan polis selepas dipercayai meragut rantai emas budak perempuan berusia lima tahun di Pasar Tani, Seksyen 13, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, polis menahan suspek dalam keadaan cedera dan berlumuran darah dipercayai akibat dibelasah orang ramai yang menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kanak-kanak itu menyedari rantai emasnya diragut sebelum memberitahu ibunya yang berada dengannya.

“Ibu mangsa mengejar suspek dan menjerit meminta tolong sebelum orang awam menangkap dan membelasah suspek.

"Lelaki itu kemudian diserahkan kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang berada di kawasan berkenaan sebelum diserah kepada anggota polis peronda (MPV)," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Hospital Shah Alam kerana luka di mata kiri, hidung serta lebam di dada serta berdarah di kepala.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 7:25 PM