BERNAMA

Sepang: Pegawai dan anggota polis tidak akan terkecuali daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah melakukan jenayah.

Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, PDRM sama sekali tidak berkompromi dalam hal itu malah pegawai dan anggota yang terbabit dalam jenayah akan disiasat secara adil dan telus.

Selain dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara, pegawai dan anggota terbabit juga berdepan tindakan disiplin PDRM termasuk dibuang daripada perkhidmatan.

"Kita mempunyai lebih 130,000 pegawai serta anggota di seluruh negara dan saya tidak nafikan ada segelintir yang terbabit, namun kita sentiasa memastikan perkara itu diminimumkan.

"Bagi membendung masalah ini, PDRM turut membuat ujian integriti bagi setiap pengambilan baharu dan juga untuk kenaikan pangkat selain menganjurkan pelbagai kursus berkaitan," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pembabitan pegawai dan anggota polis dalam kegiatan jenayah, susulan kes seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan selepas disyaki melakukan rompakan bersenjata di sebuah kafe siber di Jalan Radin Anum 1, Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi semalam, suspek yang berusia 55 tahun dilaporkan masuk ke premis berkenaan dan mengacukan pistol sebelum melarikan wang tunai RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:11 PM