HONDA Accord baharu bergaya.
ENJIN sama seperti model terdahulu.
RUANG kabin diperkemaskan ciri baharu.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Honda Accord generasi kesembilan kini tampil dengan model direka semula bagi menawarkan nilai pakej yang hebat.

Pada masa sama, ciri premium masih dikekalkan pada semua variannya sempena meraikan ulang tahun ke-40 kenderaan segmen D itu.

Di Malaysia, lebih 75,000 unit Honda Accord sudah berada di jalan raya dan kekal menjadi sedan eksekutif kegemaran ramai yang diperkenalkan pada 2001.

Honda Accord baharu menawarkan satu tahap ekspektasi yang baru bagi sedan eksekutif dengan tawaran tiga varian membabitkan varian 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L.

Bagi varian paling tinggi dikuasakan oleh enjin teknologi ‘Earth Dreams’ untuk menawarkan pengalaman pemanduan lebih mengujakan dan menjimatkan bahan api.

Model baharu itu direka semula untuk menawarkan penampilan luaran yang lebih canggih dan maskulin menerusi rekaan bampar hadapan baru.

Di samping itu, lampu utama LED penuh gaya pada bahagian hadapan dan belakang serta rim dua warna iaitu hitam dan perak bagi melengkapkan lagi penampilan dinamiknya.

Bagi memenuhi keperluan gaya hidup ekskutif moden, ia dilengkapi unit Paparan Audio Skrin Sentuh bersaiz tujuh inci bersama i-MID yang serasi dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri telefon bebas tangan dengan pengecaman suara dan MirrorLink memudahkan lagi urusan berkomunikasi serta hiburan ketika memandu.

Tahap premium ditawarkan Accord boleh dilihat melalui varian 2.0VTi dengan ciri seperti Kemasukan Pintar, Butang Penghidup Enjin dan Kawalan Jelajah yang biasanya boleh didapati pada spesifikasi tinggi 2.0L.

Varian tinggi 2.0VTi-L juga dilengkapi pelbagai ciri tambahan seperti Honda LaneWatch, cermin pandang belakang auto malap, penggilap cermin automatik dan tempat duduk berkuasa untuk penumpang hadapan, beg udara sisi.

Bagi varian 2.4VTi-L, ia dipertingkatkan untuk memberi lebih nilai kepada pelanggan.

Honda Accord baharu ditawarkan dengan warna Biru (Obsidian Blue Pearl), selain putih dan perak dijual antara RM144,800 sehingga RM172,800.

Bagi memberi lebih nilai dan kemudahan kepada pelanggan, hadir bersama jaminan lima tahun dengan perbatuan tanpa had bersama selang servis setiap 10,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:01 AM