RAINE ketika melancarkan Mercedes-Benz CLA.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Berikutan kejayaan generasi baru A-Class pada Mac lalu, Mercedes-Benz Malaysia mula memperkenalkan model CLA generasi terkini bagi merevolusikan segmen kereta kompak premium di negara ini.

Jentera baharu itu berkonsep kenderaan coupe premium empat pintu dalam segmen saiz pertengahan saiz yang memiliki ciri klasik dan moden.

Kini semua varian model berkenaan dilengkapi ciri luaran AMG Line dengan reka bentuk untuk mempertingkatkan lagi gaya sporty dan eksklusif.

Bahagian luaran tampak dinamik melalui gaya bentuk AMG yang merangkumi kit aksesori bahagian hadapan, tepi, belakang dan jeriji radiator berlian serta ekzos berkembar.

Sistem penggantungan direndahkan bagi memantapkan pengendalian dan mempertingkatkan keseronokan pemanduan.

Bagi varian CLA 200, ia dilengkapi rim 18 inci AMG, manakala 19 inci bagi model CLA 250 Sport 4MATIC yang didatangkan cakera brek berlubang di bahagian hadapan.

Malah, model itu ditawarkan dengan lampu depan LED berprestasi tinggi yang berkelebihan penggunaan tenaga yang sangat rendah kira-kira 60 peratus kurang daripada xenon. Ruang kabinnya juga lebih baik dengan ciri tempat duduk baharu serta butang kawalan salutan krom.

Varian CLA 200 dan CLA 250 Sport 4MATIC dilengkapi sistem audio dengan 20 CD manakala Mercedes-AMG CLA 45 dipadankan teknologi Command Online.

Ia juga tampak lebih premium dengan kemasan perak pada kawalan serta hadir material hitam untuk menyerikan suasana ruang kabin supaya kelihatan sporty.

Rangkaian kuasa bagi CLA 200 menggunakan enjin bersesaran 1,596cc yang menyalurkan 156hp pada 5,300rpm dengan tork setinggi 250Nm.

Bagi CLA 250 Sport 4Matic dan CLA 45 4Matic pula menggunakan enjin bersesaran 1,991cc yang masing-masing menyalurkan prestasi berbeza membabitkan 211hp serta 280hp.

Model CLA 200 dijual pada RM236,888, CLA 250 Sport 4Matic (RM278,888) dan CLA 45 4Matic (RM408,888) atas jalan tidak termasuk insurans. Jentera baharu itu dilancarkan Naib Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:00 AM