Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Bachok: Remaja dikhuatiri lemas manakala lelaki berjaya diselamatkan di Pantai Irama, petang Sabtu, 17 September.

Nik Mohd Sharizwan, 16 dikatakan sedang mandi bersama tujuh ahli keluarganya sebelum hilang dibawa arus, pada kejadian 6.50 petang.

Mohd Faizal Mohd Noor, 38, pula yang cuba menyelamatkan mangsa dikatakan turut hampir lemas namun sempat diselamatkan ahli keluarganya.

Mohd Faizal yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Klinik Bachok sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Ketua Operasi, Abdul Razak Abdul Rahman, dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.01 malam.

“Sepuluh anggota ke lokasi. Sebaik tiba, mangsa yang diselamatkan itu dibawa untuk rawatan manakala remaja itu masih hilang.

"Usaha mencari masih diteruskan di persisir pantai dengan bantuan orang awam. Sehingga 11 malam tadi, mangsa masih belum ditemui," katanya.

Sementara itu, Ibu remaja itu, Wan Rosnurbaity Wan Zulkharnain, 35, berkata, keluarganya tiba di pantai berkenaan pada 5.45 petang.

Katanya, mereka bermandi-manda bersama ahli keluarga dan saudara-mara bagi menghabiskan masa cuti kerana dia sekeluarga akan pulang ke Johor esok.

"Kami dah lama tak balik kampung. Jadi, hari terakhir kami nak habiskan masa bersama ahli keluarga, tak sangka pula. Namun, kami akan buat solat hajat bagi permudahkan urusan pencarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 11:47 PM