SENTUHAN kreatif Mamat mengubah landskap Rumah Rehat menjadikan SARANG sebagai pusat seni untuk golongan muda.
REKA bentuk kontena lori yang dijadikan pentas dan galeri seni.
MURAL unik yang menggamit sesiapa saja.
ARCA unik menghiasi segenap ruang galeri.
TULISAN pada kayu yang digantung.
KABINET penyediaan minuman diperbuat aripada kayu.
BAHAGIAN dinding galeri tampil menarik dengan paparan catan dan arca.
Rosman Shamsudin
rencana@hmetro.com.my


Dahulunya dikenali sebagai Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan, namun kini ia berubah apabila menerima sentuhan penerbit dan pengarah filem terkenal tanah air, Mamat Khalid yang menjadikannya sebagai Pusat Seni (SARANG) untuk golongan muda berkarya.

SARANG menjadi antara komponen dalam Projek 1Malaysia Youth City (1MYC) atau dikenali Bandar Belia 1Malaysia dan Tanjung Malim adalah kawasan projek rintis bagi melaksanakan program itu.

Ia usaha memberi peluang kepada golongan belia terutama pencinta seni mengembangkan bakat dan cabang seni masing-masing.

Idea kreatif Mamat mendekorasikan SARANG menjadikan tempat itu bukan saja untuk anak muda mengembangkan bakat seni, malah sarat dengan elemen mengajak pengunjung berfikir dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Langkah mengekalkan reka bentuk asal Rumah Warisan separa batu dan kayu itu menjadikan SARANG tampak unik.

Ia menampilkan seni pertukangan orang dulu-dulu yang menjadikan kayu sebagai bahan asas untuk pembinaan rumah.

Penggunaan cat putih menyerlahkan SARANG terutama pada bahagian kiri yang mempunyai susunan lapisan papan dikelililingi kekisi dan lelabah berpetak menjadikan ruang beranda itu tampak unik.

Mengekalkan pintu dan tetingkap berusia puluhan tahun antara langkah bijak untuk menyerlahkan warisan seni pertukangan lama bagi tatapan generasi muda.

Selain itu, SARANG ‘disaratkan’ dengan lukisan mural yang menampilkan kira-kira 70 wajah tokoh seluruh dunia termasuk tokoh agama, politik, filem, seni dan masyarakat.

Ia menghiasi dinding SARANG bertujuan mengajak pengunjung berfikir dan mengenali mereka.

Tidak ketinggalan wajah seniman agung Tan Sri P Ramlee juga dimuatkan pada bahagian dinding selain barisan pelakon filem Melayu yang menjadi idola hingga kini.

Bahagian tengah untuk tetamu bersantai sambil menikmati minuman di kafe SARANG pula dihiasi lukisan untuk membangkitkan dekorasi dalaman. Selain reka bentuk tempat menyediakan minuman yang tampak unik.

Sarang burung tempua yang bergantungan bukan saja menjadi simbolik fungsi SARANG kepada masyarakat, malah ia juga mampu membangkitkan suasana santai.

Melangkah ke bahagian galeri pula kelihatan catan menghiasi dinding yang dihasilkan pelukis berbakat. Arca juga memenuhi segenap sudut menjadikan galeri itu menarik serta mampu membuat pengunjung teruja.

Mata juga tertarik kepada tempat mengunting rambut berusia puluhan tahun digunakan sebagai penghias sudut galeri dan penggunaan meja besar diperbuat daripada kayu balak serta almari lama sarat dengan buku rujukan berjaya membangkitkan aroma sekitar tahun 70-an.

Bahagian luaran pula, penggunaan kontena lori yang diubah suai menjadi pentas dan sudut galeri dengan lukisan dinding menyerlahkan kreativiti untuk menarik golongan belia mengunjungi SARANG.

Tidak hairanlah, jika anda yang sudah lama tidak mengunjungi Rumah Rehat yang kini bertukar wajah menjadi SARANG terkejut melihat perubahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:21 AM