AFP

London: Baru saja empat perlawanan Liga Perdana Inggeris, Manchester City kendalian Pep Guardiola (gambar) sudah dilihat sebagai pasukan sukar ditewaskan menjelang aksi menentang Bournemouth di laman sendiri malam ini.

Kemenangan perlawanan setempat ke atas Manchester United 2-1 hujung minggu lalu mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus City dalam divisyen berkenaan dan mereka meneruskannya dengan kemenangan 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara ke atas Borussia Moenchengladbach.

Perlawanan Gladbach ditunda 24 jam berikutan hujan lebat awal pagi Rabu namun Ilkay Gundogan yang membuat penampilan sulungnya awal pagi Khamis dalam perlawanan itu tidak percaya ia akan mendatangkan sebarang kesan sampingan.

“Kami semua cukup profesional untuk menangani situasi seperti ini dan sudah biasa bermain perlawanan Rabu-Sabtu,” kata pemain Jerman itu dalam wawancara video dimuat naik di laman web City.

“Ia mungkin membawa perbezaan kecil tapi kami semua profesional dan sentiasa mencuba yang terbaik. Ia tidak akan menjejaskan kami untuk perlawanan Sabtu (malam ini) apabila berada di padang.

“Kami sentiasa mahukan kemenangan dan menampilkan aksi bola sepak terbaik jadi kami semua menantikan perlawanan Sabtu ini.”

Sergio Aguero menjadi wira kemenangan City ke atas Gladbach menerusi jaringan hatrik, yang kedua dalam Liga Juara-Juara musim ini, tetapi digantung untuk kunjungan ke Bournemouth.

Kelechi Iheanacho yang menjadi pengganti Aguero ketika menentang Gladbach, dijangka mengambil alih tempat pemain Argentina itu di bahagian serangan.

David Silva pula dijangka tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan kecil ketika menentang Gladbach.

Skuad Bournemouth kendalian Eddie Howe meraih kemenangan pertama sepanjang kempen ini hujung minggu lalu apabila menewaskan West Bromwich Albion 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:03 AM