Bakal pembeli perlu kekal hubungan baik dengan REN untuk membantu mereka mendapat harga hartanah terbaik
Rosniza Mohamed

Dewasa ini, kita dapati ramai ingin membeli hartanah sama ada untuk didiami bersama keluarga atau dijadikan pelaburan yang boleh menjana pendapatan.

Untuk pengetahuan anda, kita boleh mendapatkan harga terbaik terutama jika anda membeli daripada Perunding Hartanah Berdaftar (REN) yang dilatih di bawah seliaan Ejen Hartanah berdaftar dengan Lembaga Penilai Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia (LPPEH).

Oleh yang demikian, formula di bawah boleh membantu anda sebagai persediaan berhadapan dengan REN berdaftar bagi memperoleh harga yang terbaik iaitu PH = (J-S-T) + (P + Mp + K).

Berikut adalah huraian berkenaan faktor yang perlu diambil kira dalam rundingan dan tawar-menawar untuk menetapkan harga hartanah iaitu PH = Persetujuan Harga (yang dipersetujui di antara penjual dan pembeli untuk membeli hartanah terbabit).

J = Jual (Harga jualan yang dibuka di pasaran) di mana harga jual ini adalah harga yang dibuka kepada umum dan boleh dirunding dengan kebiasaannya perbincangan mengenai penurunan harga masih boleh dilakukan dan berlaku selepas bakal pembeli melihat hartanah yang hendak dibeli. Ia bergantung kepada persetujuan pihak penjual dan bakal pembeli melalui Perunding Hartanah yang dilantik.

S = Semasa (Harga semasa hartanah dibandingkan di kawasan sama) di mana harga semasa ini merujuk kepada indikator lisan yang diberikan Penilai Hartanah. Ia tidak disertakan laporan dan hanya sekadar lisan sama ada melalui e-mel atau telefon sahaja berdasarkan kepada beberapa perkara seperti keluasan tanah, keluasan bangunan, jenis hartanah dan alamat. Indikator ini berdasarkan kepada transaksi terjual di kawasan dan jenis sama.

T = Terdesak (bergantung kepada berapa peratus desakan keperluan penjual untuk menjual hartanah terbabit). Ia faktor paling berkesan dalam meminta pengurangan harga. Contohnya, jika penjual memerlukan wang dalam tempoh singkat dan jika pembeli pula ingin membayar tunai, kebiasaannya pemilik akan mempertimbangkan lagi penurunan harga terbabit. Insya-Allah, anda akan tersenyum kerana memperoleh kadar pulangan (yield) yang memberangsangkan.

P = Persaingan (Persaingan untuk mendapatkan hartanah terbabit). Seandainya ada banyak permintaan dan ramai berminat melihat hartanah terbabit atau ramai sudah melawat periksa hartanah yang hendak dijual itu serta mereka juga memberikan pelbagai tawaran harga, maka pihak pemilik melalui Perunding Hartanah berkemungkinan besar akan mengekalkan harga dibuka untuk dijual bagi hartanah itu.

Oleh yang demikian, pada masa ini bakal pembeli perlu mengekalkan hubungan baik dengan Perunding Hartanah untuk membolehkan mereka membantu anda mendapatkan harga terbaik.

Mp = Minat pembeli berkuasa dua iaitu pembeli yang sanggup membeli kerana faktor tertentu di mana ia datang daripada pembeli itu sendiri yang ingin membeli kerana sangat berminat dengan lokasi, dekat dengan tempat kerja atau ayah dan ahli keluarga mereka tinggal di kawasan sama.

K = Hartanah yang kadang-kadang sahaja dijual di sesebuah tempat di mana ia adalah faktor teristimewa kerana ia kadang-kadang sahaja dijual. Kebiasaannya semua kawasan ini diduduki pemilik itu sendiri dan jarang sekali diiklankan sebagai hartanah untuk dijual.

Ia sangat berharga dari segi keselamatan, keselesaan dan keamanan kerana semua mengenali di antara keluarga masing-masing jika dibandingkan dengan penyewa yang hanya menyewa dalam tempoh tertentu mengikut perjanjian sewaan.

Melalui formula di atas, bakal pembeli boleh membuat persediaan khususnya kepada bakal pembeli rumah pertama untuk membeli hartanah mengikut kawasan diminati.

Anda boleh bertanya serta berunding dengan Perunding Hartanah (REN) dan tidak perlu takut bertanya atau berbincang kerana mereka bersedia membantu anda dan mereka dilatih melalui latihan disediakan syarikat mahupun LPPEH menerusi program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).

Penulis adalah Exco Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham) dan Ejen Hartanah Berdaftar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:01 AM