Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Hulu Terengganu: Seorang daripada dua pelajar yang mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, petang tadi, ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku di kawasan Sungai Terengganu Kampung Getang, Telemong, kira-kira jam 4 petang ketika sekumpulan lebih 10 remaja menaiki motosikal pulang dari kenduri perkahwinan dan singgah di lokasi untuk mandi.

"Lokasi kejadian adalah kawasan kerja menyedut pasir dan paras airnya dalam. Kedua-dua mangsa adalah penduduk Kampung Pak Madah, Marang.

"Mangsa yang mayatnya sudah ditemui pada 7.20 malam, ialah Abdul Hadi Abd Ghani, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, manakala mangsa kedua yang masih hilang ialah Mohd Atiqullah Idris, 14, pelajar SMK Bukit Sawa.

"Usaha mengesan dan mencari mangsa masih di lakukan bomba Kuala Berang dengan bantuan polis dari Balai Telemong dan penduduk Kampung Getang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 8:33 PM