Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Usianya masih muda, namun dia gigih berusaha untuk menggapai kejayaan diinginkan dalam bidang yang diceburinya tanpa menoleh ke belakang.

Bertemu gadis manis berusia 20 tahun ini begitu menyeronokkan kerana sikapnya yang peramah, sentiasa tersenyum dan sopan apabila berbicara.

Berasal dari Perlis, Adilla Farhana Azman ialah anak kedua daripada empat beradik yang memulakan kerjayanya sebagai juruterapi spa dan model sambilan.

Selepas menamatkan pengajian di Giat MARA Shah Alam dalam bidang kecantikan, dia mengaktifkan diri menghadiri pelbagai kursus keushawanan.

Berbekalkan semangat yang tinggi di samping sokongan dan galakan daripada kedua-dua ibu bapanya, dia memberanikan diri menubuhkan syarikat dengan mengusahakan perniagaan minyak wangi jenama sendiri, Delanis Perfume.

Menjadikan Pengarah Urusan Sendayu Tinggi Holdings (M) Sdn Bhd Rozita Ibrahim sebagai idola, Adilla Farhana memasang impian untuk terus maju dalam perniagaan.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai gadis manis ini, ikuti temu bual penulis bersama Adilla Farhana.

Soalan (S): Apakah yang mencetus minat anda untuk menceburi dunia perniagaan?

Jawapan (J): Sebenarnya, saya memang mempunyai minat mendalam dalam dunia perniagaan dan suka dengan cabaran kerjaya ini terutama apabila perlu berkomunikasi dengan orang ramai ketika terbabit dalam acara besar.

Pada masa sama, faktor dorongan keluarga yang banyak terbabit dalam dunia perniagaan itu sendiri membuatkan saya memasang niat untuk berniaga dan menjadi kebanggaan mereka.

S: Jelaskan serba sedikit mengenai perniagaan anda.

J: Pada mulanya, ia diusahakan secara kecil-kecilan. Saya bersyukur kerana wangian yang ditampilkan ini berjaya menambat hati penggemar minyak wangi tempatan dengan jualan yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dari semasa ke semasa.

S: Mengapa anda memilih memperkenalkan produk minyak wangi?

J: Saya yakin pilihan cabang perniagaan kali ini memang tepat. Saya yakin memilih perniagaan minyak wangi kerana dapat melihat permintaannya yang sentiasa tinggi dalam kalangan rakyat di negara ini.

Saya akui pada mulanya memang agak sukar dan mencabar bagi mencari cabang perniagaan yang benar-benar mudah diusahakan.

Sebelum ini, saya pernah melakukan banyak jenis perniagaan termasuk aksesori wanita dan kosmetik secara dalam talian.

Bersandarkan kesungguhan mengumpul modal daripada perniagaan sebelum ini, akhirnya produk atau perniagaan wangian minyak wangi ini berjaya dihasilkan tanpa menggunakan sebarang pinjaman daripada pihak bank ataupun institusi kewangan lain.

S: Ceritakan mengenai sistem perniagaan yang dijalankan.

J: Saya mengamalkan sistem ‘kongsi rezeki’ iaitu sistem yang menawarkan keuntungan tinggi kepada ejen. Buat masa ini, jenama ini sudah mempunyai kira-kira lebih 100 ejen yang bergiat aktif di seluruh Malaysia memasarkan produk ini.

Bagi menggapai impian untuk menjadi usahawan berjaya, saya gigih berusaha untuk terus mempromosikan jenama ini agar ia dikenali.

Justeru, kami menjadikan medium dalam talian untuk orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkenaan produk wangian jenama Delanis di Delanis Perfume HQ (Facebook) atau Delanis.hq (Instagram). Tempahan atau pembelian juga boleh dilakukan secara dalam talian.

S: Bagaimana anda mendapat idea mencipta minyak wangi jenama ini?

J: Produk wangian keluaran label ini inspirasi daripada jenama antarabangsa dan mempunyai 12 pilihan wangian untuk lelaki serta 15 pilihan bauan terbaik bagi wanita.

Jenama ini mengutamakan kualiti agar ia setanding label antarabangsa, mempunyai ketahanan wangian melebihi lapan jam dan mesra solat.

S: Apakah cabaran yang pernah dilalui apabila bergelumang dalam dunia perniagaan?

J: Memang banyak. Antaranya, terpaksa bersaing dengan jenama minyak wangi yang sudah popular, menyertai acara luar yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental serta melakukan sendiri penghantaran barang tanpa mengira waktu.

Ada kalanya apabila berniaga secara dalam talian ini kita menerima komen negatif atau sindiran daripada orang yang tidak dikenali.

Dari segi produk pula, antara kesulitan yang saya hadapi di awal pembabitan ialah mengenal pasti jenis bauan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran selain memastikan kualitinya mencapai standard antarabangsa dalam aspek pemilihan pati wangian dan pembungkusan.

Pada masa sama, bukan mudah untuk meyakinkan ejen jualan memasarkan produk ini secara berterusan dan membentuk pasukan pemasaran yang mantap serta berdedikasi.

Namun, saya sentiasa memahami ini baru sedikit cabaran untuk berjaya dan pasti ada risiko lain yang menanti. Justeru, saya perlu sentiasa bersedia menghadapi cabaran dengan lebih positif dan berani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 1:58 PM