YUSRI (kiri) bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) pada majlis perlancaran Jelajah Malaysia 2016.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengerusi Peloton Resources Mohammad Yusry Ismail memberi jaminan penganjuran perlumbaan Jelajah Malaysia (JM) 2016 tidak akan berdepan masalah kewangan seperti tahun lalu.

Malah Yusry bertindak berani apabila tidak mengharapkan dana kerajaan pada penganjuran edisi ke-52 yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 22 Oktober depan.

“Saya sukakan cabaran,” katanya ketika ditanya tindakan nekad untuk menganjurkan perlumbaan edisi 2016 selain menanggung hutang edisi tahun lalu yang berjumlah ratusan ribu.

Bagaimanapun Yusry menjelaskan peruntukan kewangan untuk tahun ini sudah mencukupi dengan tujuh penaja sudah tampil bersama mereka.

“Saya boleh memberi jaminan kepada semua pihak terbabit pada edisi tahun ini. Jika saya sudah berani (bertanggungjawab), (pihak yang lain) turut perlu berani.

“Saya juga mengambil tindakan berani untuk menyelesaikan hutang tahun lalu dengan perbincangan sudah diadakan bersama kontraktor dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia berhubung pembayaran,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Peloton Resources Musairi Musa menjelaskan, masalah tunggakan tahun lalu membabitkan beberapa pasukan akan diselesaikan minggu depan.

JM2016 yang berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) membabitkan lima peringkat bermula dari Kuala Lumpur menyusuri Perak, Pahang, Kelantan dan berakhir di Terengganu dengan jarak 750.2 kilometer.

Ia menjanjikan cabaran getir kepada pelumba apabila membabitkan pendakian kategori ‘hors’ ke Brinchang, Cemeron Highlands.

Sebanyak 20 pasukan membabitkan 12 pasukan benua termasuk juara bertahan Skydive Dubai dan Terengganu Cycling Team, tiga pasukan kebangsaan dan dua pasukan negeri akan bersaing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 12:03 PM