Menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer.
Pemandu lori tangki minyak sawit yang terselamat dan keadaan lorinya yang terbalik merintangi jalan Sandakan ke Telupid berhampiran Simpang Beluran, Sandakan. - Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


Sandakan: Seorang lelaki berusia 46 tahun cedera selepas lori tangki minyak sawit dipandunya terbabas dan terbalik di Jalan Sandakan ke Telupid berhampiran Simpang Beluran dekat sini, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian 11.15 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju Telupid dan setiba di lokasi kejadian, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik merintangi jalan sehinhgga menghalang lalu lintas.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pemandu lori sempat keluar dari kenderaan berat itu.

"Dia kemudian dibantu oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Beluran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu membersihkan tumpahan minyak sawit.

"Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer sebelum laluan dibuka semula kepada pengguna pada tengah hari, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 6:57 PM