Khairy (kanan) mengayuh basikal pada pelancaran Jelajah Malaysia 2016.FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perlumbaan berbasikal tertua negara, Jelajah Malaysia (JM) tahun ini akan berlangsung dari 18 hingga 22 Oktober depan.

Perlumbaan yang memasuki edisi ke-52 akan mempertandingkan lima peringkat bermula di Kuala Lumpur menyusuri Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu membabitkan laluan sejauh 750.2 kilometer.

"Saya percaya perlumbaan ini adalah salah satu acara yang mampu melahirkan bakat baru untuk negara.

"Itu turut membuka peluang kepada pelumba tempatan bersaing dengan pelumba luar negara," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada majlis pelancaran perlumbaan, hari ini.

Perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu membabitkan 120 pelumba mewakili 20 pasukan dalam dan luar negara.

Antara pasukan yang bertanding adalah Terengganu Cycling Team (Malaysia), KSPO (Korea Selatan), Skydive Dubai (UAE), Kinan Cycling Team (Jepun) dan Tabriz Shadari (Iran).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 6:50 PM