Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di kediaman lelaki Singapura di Taman Daya, Johor Bahru, malam tadi. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.23 juta di sebuah pangsapuri di Taman Mount Austin di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, rampasan itu susulan tangkapan seorang lelaki Singapura berusia 56 tahun di Taman Daya pada 9.15 malam dan dia didapati memiliki 27 gram syabu sebelum polis memeriksa tempat tinggalnya.

Menurutnya, polis merampas 5.8 kilogram syabu, 5,536 pil ekstasi, 565 gram ketamin, 200 pil erimin 5, 220 gram heroin, 35 gram serbuk ekstasi, peralatan membungkus dadah dan wang tunai RM7,000.

"Dadah berkenaan boleh menampung bekalan untuk 36,150 penagih.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 4:35 PM