Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Lelaki didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana mendesak pemandu kereta meletakkan kenderaan dan menuntut wang daripadanya.

Majistret Muhamad Amin Shahul Hamid menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ammanullah Shahul Hamid, 50, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Ammanullah didakwa mendesak pemandu Perodua Viva meletakkan kenderaan dan meminta bayaran RM1 di Jalan Servis Persiaran Gurney, di sini, pada 6.50 petang semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya Ahmad Padzli manakala tertuduh diwakili Siti Zahmaliah Mohd Ismail daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 11:53 AM