KEPULAUAN Mersing bertaraf antarabangsa.
PULAU Besar tawar percutian mengujakan dan menarik.
VILA dengan seni bina tradisional penginapan mewah yang ditawarkan di Pulau Tengah.
KEINDAHAN pulau di perairan Mersing cukup mempesonakan.
PENGINAPAN selesa menanti di Pulau Besar.
PEMANDANGAN Pulau Rawa dari jauh yang menggamit pengunjung.
PERKHIDMATAN bot ke pulau di perairan Mersing boleh didapati di Jeti Mersing.
KEINDAHAN dan kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara antara kelebihan di kepulauan Mersing.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Pulau Rawa, Pulau Tengah, Pulau Besar, Pulau Aur, Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Pemanggil adalah antara pulau popular di perairan Mersing, Johor sentiasa menjadi pilihan pelancong sama ada untuk bersantai atau menikmati keindahan alam semula jadinya yang cukup mempersonakan .

Pulau berkenaan juga mudah dikunjungi sama ada menggunakan bot sewa atau milik pengusaha hotel, resort atau chalet yang menyediakan perhidmatan itu.

Selain itu, terdapat beberapa lagi pulau di perairan Mersing seperti Pulau Harimau, Pulau Goal dan Pulau Mensirip yang tidak kurang indahnya.

Menariknya, gugusan kepulauan ini masih terpelihara dan bebas daripada pencemaran serius. Kejernihan air laut, kehalusan pasir pantai serta batu karang yang cantik menjadi tarikan utama kepada pelancong yang meminati aktiviti selam skuba, snorkeling dan singgah pulau (island-hopping).

Berikut beberapa fakta menarik mengenai pulau terbabit.

Pulau Rawa

Menjadi tumpuan dunia kerana kecantikan dan keindahannya. Dikatakan pulau ‘ekkslusif’ dan mendapat jolokan Maldives Malaysia, Pulau Rawa ternyata pulau peranginan yang cukup istimewa.

Perjalanan sejauh 16 kilometer menaiki bot laju dari Jeti Mersing berbaloi dengan apa yang disajikan.

Di sini, menginap di satu daripada dua resort yang beroperasi, keselesaan pengunjung menjadi keutamaan. Disebabkan itu, had pengunjung yang dibenarkan berada di Pulau Rawa pada satu-satu masa ialah antara 180 orang hingga 250 orang.

Aktiviti sukan air bermotor tidak dibenarkan di Pulau Rawa kerana ingin menjaga hidupan marin.

Namun, banyak lagi aktiviti menyeronokkan di sini seperti mandi-manda atau berjemur di bawah mentari, memburu ikan nemo serta ikan lain melalui aktiviti snokeling, selam skuba, bermain gelongsor air, meneroka hutan, mendaki Puncak Rawa, berkayak serta aktiviti sukan pantai.

Pulau Tengah

Terletak di antara Pulau Besar dan Pulau Hujong, Pulau Tengah lokasi terbaik untuk melihat penyu belimbing bertelur setiap tahun terutama pada Julai.

Dulunya, pulau milik persendirian ini hanya dijadikan lokasi persinggahan ketika melakukan aktiviti singgah pulau di sekitar perairan Mersing.

Kini Pulau Tengah menjadi destinasi percutian mewah apabila Batu-Batu Resort memulakan operasi. Menjadi satu-satunya resort yang beroperasi di sini, Batu-Batu Resort menawarkan 22 bilik penginapan vila dengan seni bina tradisional.

Walaupun di tengah samudera, resort ini masih mementingkan penjagaan alam semula jadi.

Selain pemandangan indah, terdapat juga santuari penetasan penyu yang dimiliki pihak resort yang diselia kumpulan petugas berpengalaman dalam usaha pemuliharaan spesies itu.

Pulau Besar

Dulunya Pulau Besar dikenali sebagai Pulau Babi Besar. Mengambil masa kira-kira 30 minit menaiki bot laju dari Jeti Mersing, pulau ini mempunyai pantai yang bersih, pasir putih halus dan air laut jernih.

Bercuti di sini memberikan pengunjung banyak pilihan penginapan yang sesuai dengan bajet masing-masing.

Penginapan seperti Aseania Resort, D’Coconut Island Resort dan Mirage Island Resort serta beberapa yang lain mewujudkan kepelbagaian dalam banyak aspek termasuk harga, perkhidmatan dan sebagainya.

Pengunjung juga boleh menjelajah kampung dengan berjalan atau berbasikal.

Pulau Aur

Terletak kira-kira 65 kilometer sebelah timur Mersing, Pulau Aur sebahagian daripada Taman Laut Johor dan pulau paling jauh dari tanah besar.

Pemandangan, perairan jernih dan keindahan alam semula jadi pulau ini cukup mempesona.

Keindahan batu karang dan hidupan laut di pulau ini menjadikan kawasan dua batu nautika dari pantainya diwartakan sebagai Taman Laut Johor.

Penggemar aktiviti snorkeling pasti tidak jemu menyaksikan keindahan dasar laut yang dihuni pelbagai spesies ikan dan terumbu karang.

Kejernihan dan kedinginan air lautnya pasti membuatkan pengunjung tak sabar untuk mandi, ditambah pula pemandangan pulau-pulau kecil berhampiran yang cukup mempesona.

Pulau Sibu

Pulau ini agak berbeza dengan pulau lain kerana diliputi tumbuh-tumbuhan tropika. Masih mengekalkan nilai perkampungan nelayan, aktiviti waktu lapang pengunjung boleh dimanfaatkan dengan meneroka suasana kampung dengan berjalan atau berbasikal menyusuri laluan tepi pantai di antara jeti Seri Pacifica Resort hingga ke jeti kedua yang berada di pekan pulau ini.

Terdapat juga beberapa resort kecil di pulau ini yang boleh dipilih sebagai lokasi penginapan saat bertandang ke sini. Aktiviti riadah utama di sini ialah sukan air seperti snorkeling dan menyelam.

Pulau Tinggi

Pulau Tinggi antara pulau besar berbentuk bujur di perairan Mersing yang dikelilingi beberapa pulau kecil lain seperti Pulau Ibol, Pulau Apil, Pulau Lanting, Pulau Simbang, Pulau Mentinggi dan Pulau Nanga Kecil dan Pulau Nanga Besar.

Menariknya, pulau ini yang dihuni hampir 500 penduduk ini kaya dengan hutan semula jadi yang dipelihara termasuk rotan dan pokok buah-buahan.

Ia mempunyai garis pantai yang panjang dan pantai berpasir putih serta dihiasi dengan gua.

Pulau Tinggi punya keunikan dan keindahan tersendiri yang perlu diterokai.

Kebiruan air laut dan keindahan suasana di sini menggamit hati dan mempesonakan.

Ia mempunyai banyak rumah penginapan dan chalet selain kemudahan untuk peminat snorkeling dan selam skuba.

Pulau Pemanggil

Pulau Pemanggil terkenal sebagai antara tempat memancing terbaik di Malaysia. Pulau ini terkenal dalam kalangan nelayan kerana ia lokasi sesuai untuk memancing laut dalam.

Tempat ini juga sesuai untuk aktiviti air seperti snorkeling dan menyelam skuba. Anda boleh mendaki ke atas bukit untuk melihat pemandangan indah di Pulau Pemanggil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 10:55 AM