Devereux pada majlis pelancaran Chevrolet Colorado di Cebu.
CHEVROLET Colorado.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Cebu, Filipina: General Motors International (GMI) melihat Malaysia sebagai pasaran berpotensi tinggi bagi penjualan trak pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) menerusi pengenalan kenderaan terbaharunya di Asia Tenggara iaitu Chevrolet Colorado dan Trailblazer.

Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Selepas Jualan, GMI, Mike Devereux berkata, menerusi kedua-dua model baru itu, ia memenuhi keperluan semasa pengguna bagi kenderaan trak pikap dan SUV yang semakin berkembang ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya optimis ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna apabila ia dilancarkan di Malaysia yang dijadualkan pada bulan depan bagi Colorado dan Trailblazer mula diperkenalkan suku pertama 2017.

“Kami sentiasa menghasilkan kenderaan dengan kelebihan untuk memenuhi segala kriteria yang pengguna inginkan. Selain dilengkapi teknologi terkini, ia turut menampilkan infotainmen iaitu fasiliti hiburan yang lebih bersepadu.

“Pengguna juga dijanjikan pengalaman pemanduan luar biasa dan lebih santai, sekali gus memberikan gaya lebih urban khususnya kepada mereka yang suka melakukan aktiviti lasak,” katanya kepada Bisnes Metro ketika ditemui selepas majlis pelancarannya, di sini, semalam.

Chevrolet Colorado adalah trak pikap yang dikuasakan oleh enjin diesel turbo empat silinder 2.8L Duramax yang dipertingkatkan bagi menawarkan prestasi memberangsangkan, penjimatan minyak dan pembebasan asap minimum. Ia turut menghasilkan kuasa sehingga 147 kW (200 PS) dan 500 Nm tork.

Sementara itu, bagi siri SUV Trailblazer tujuh tempat duduk, ia ditambah baik dengan ciri stereng kuasa elektrik (EPS) yang menjadikan pemanduan lebih ringan khususnya di kawasan sesak seperti di bandar dan kawasan parkir kereta.

Menurutnya, Colorado adalah kenderaan dinamik dengan sambungan ‘Remote Start’ untuk menghidupkan enjin dari jarak jauh serta mempunyai akses kepada telefon pintar iaitu Apple CarPlay dan Android Auto manakala Trailblazer dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar serta alat bantuan parkir depan dan belakang.

Setakat ini, GMI masih belum mengumumkan harga bagi Chevrolet Colorado dan Trailblazer kerana harganya berbeza mengikut pasaran di rantau ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 7:24 AM