Diana Riesler dari Jerman mahu pertahan kejuaraan Ironman di Langkawi buat kali ketiga. - Foto Ironman.com
BERNAMA

Kuala Lumpur: Juara dua kali Malaysia, Ironman Langkawi Diana Riesler dari Jerman akan kembali mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut kejohanan berkenaan.

Riesler, atlet profesional berkata, dia sangat teruja untuk berada di Langkawi bagi mempertahankan kejuaraan pada perlumbaan yang dijadual berlangsung 12 November ini.

“Ironman Malaysia salah satu daripada Ironman paling saya gemari di dunia. Saya bernasib baik untuk bersaing di lokasi ini sebelum ini dan keindahan alam semula jadi Langkawi sentiasa memikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2015, Riesler menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9 jam 37.06 saat manakala pada 2014, beliau mencatat 9:26.38s.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ironman Asia Geoff Meyer berkata, penganjur gembira Riesler memutuskan untuk kembali dan mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada 2014 dan 2015.

"Beliau adalah atlet yang kuat, mempunyai semangat seorang atlet triathlon. Sejarah beliau dalam kejohanan Ironman sangat panjang dan penuh kejayaan dan kami mengucapkan yang terbaik buat beliau November ini," katanya.

Selain perlumbaan utama, penganjur menjangka kira-kira 300 peserta berusia antara lima hingga 12 tahun menyertai perlumbaan 100m Ironkids di sepanjang pantai Chenang, Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:02 PM