BERNAMA

Bangkok: Selepas hampir 370 hari menunggang motosikal secara solo merentasi 40 negara, empat benua dan 65,000km laluan berliku, Anita Yusof kini semakin hampir menamatkan pengembaraannya.

Walaupun motivasi utama pensyarah Institut Pengajian Guru di Ipoh, Perak, itu untuk menyumbang kepada negara, namun pada masa sama beliau ingin menyampaikan mesej tersirat isu penting yang membelenggu agama Islam ketika ini.

"Sekarang ini terlalu ramai yang Islamophobia, menganggap Islam adalah keganasan, diskriminasi terhadap wanita dan menganggap Islam tidak membenarkan anak perempuan belajar, bekerja, banyak yang negatif.

"Kalau mereka kata Islam itu rigid, mengongkong wanita sehingga tidak membenarkan mereka belajar, saya katakan kepada mereka "Bagaimana saya boleh mengelilingi dunia menunggang motosikal secara solo," katanya di sini.

Anita berada di Bangkok dalam pusingan terakhir pengembaraan solonya dan dijangka tiba di sempadan negara di Bukit Kayu Hitam pada 11 pagi, Jumaat ini, sempena Hari Malaysia.

Beliau berharap pengembaraan dan pencapaiannya itu sedikit sebanyak dapat memainkan peranan dalam mengikis pandangan serong orang ramai terhadap agama dan wanita Islam.

"Ia sumbangan kecil saya dan saya berharap dapat membetulkan persepsi salah itu," katanya.

Anita yang mengambil cuti tanpa gaji selama setahun dan mengeluarkan lebih RM100,000 daripada poket sendiri untuk pengembaraannya, bakal diiktiraf sebagai wanita Islam Malaysia pertama bermotosikal mengelilingi dunia secara solo.

Pencapaiannya itu juga berkemungkinan menjadikan beliau sebagai warga Malaysia dan wanita Asia pertama berjaya mengelilingi dunia dengan motosikal secara solo.

"Saya amat bangga kerana wanita Islam pertama yang berjaya mengelilingi dunia secara solo menaiki motosikal, itu datangnya dari sebuah negara kecil dipanggil Malaysia," katanya.

Menurutnya, menunggang motosikal di Route 40 mengharungi pertembungan angin dari Lautan Atlantik dan Pasifik menuju ke Ushuaia, Argentina serta laluan beruang dan harimau di Alaska serta Vladivostok, Rusia sebagai cabaran paling mencemaskan.

Anita yang kehilangan 10kg sepanjang pengembaraannya kerana 'mengikat perut' untuk menjimatkan kos pengembaraannya, bertekad tidak mahu memberikan kemenangan kepada 'tukang sorak' yang sentiasa mengharapkan kegagalannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:58 PM