EIZLAN bersama anak-anaknya. FOTO Eizlan Yusof
Najiy Jefri

najiy.jefri@hmetro@com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan ahli perniagaan Datuk Eizlan Yusof menjelaskan bekas isteri, Vie Santie tidak pernah menghalangnya bertemu dan meluangkan masa bersama anak-anak.

Eizlan berkata, sejak bercerai lebih setahun lalu Vie tidak pernah menyekat untuk bertemu dan membawa anak-anak tinggal bersamanya.

“Alhamdulillah Vie tidak pernah meletakkan sebarang had. Saya percaya Vie faham anak-anak juga memerlukan kasih sayang seorang bapa.

“Justeru, dia tiada masalah sekiranya saya mahu bertemu atau membawa anak-anak tinggal bersama pada bila-bila masa,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika ini, ketiga-tiga anak Eizlan tinggal bersamanya memandangkan Vie sedang mengerjakan ibadah Haji.

Menurut Eizlan, meskipun sibuk dengan rutin kerja yang padat, dia tetap mencari masa untuk bersama anak-anak.

“Siapa yang mengikuti perkembangan saya di laman Instagram, pasti tahu saya kerap habiskan masa bersama anak-anak.

“Bagi saya, walaupun sibuk dengan rutin kerja yang tidak menentu, anak-anak tetap menjadi keutamaan.

“Selalunya saya dan anak-anak akan berbincang ke mana kami mahu pergi,” katanya.

Eizlan mendirikan rumah tangga pada 7 Julai 2007 bersama Vie namun bercerai pada 16 Februari 2015.

Hasil perkahwinan selama lapan tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 8; Zareef Yusof, 6; dan Vie Zaalia, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:02 PM