SEORANG askar mengiringi kanak-kanak yang diselamatkan dalam serangan berkenaan. FOTO Reuters

PESHAWAR: 126 orang terbunuh termasuk 100 kanak-kanak apabila tentera Taliban menyerang sebuah sekolah di Peshawar, Pakistan awal pagi tadi.

Wartawan Reuters yang berada di lokasi kejadian melaporkan bunyi tembakan dari dalam sekolah sementara tentera kerajaan membuat kepungan.

Jurucakap Hospital Lady Reading di Peshawar, yang terletak berdekatan sempadan Afghanistan berkata hospital menerima 12 mayat dan masih merawat 40 pelajar dan guru yang cedera.

“Kebanyakan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menjalani rawatan,” kata pegawai hospital, Ejaz Khan.

Pengarah Penerangan Sekretariat Ketua Menteri, Bahramand Khan berkata 122 lagi dilaporkan cedera ketika mengesahkan angka korban terbaru.

Puak Taliban Pakistan sebelum ini berikrar untuk meningkatkan operasi ketenteraan sebagai tindak balas operasi tentera terhadap mereka.

Menurut kenyataan tentera Pakistan, kebanyakan tebusan sudah diselamatkan namun jumlah sebenar belum diketahui.

“Operasi menyelamat sedang berjalan. Tembak-menembak masih berlaku. Majoriti pelajar dan kakitangan sudah dikeluarkan dan sejumlah kanak-kanak serta guru dibunuh oleh pengganas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu jurucakap Taliban, Muhammad Umar Khorasani mengesahkan mereka bertanggungjawab atas serangan itu.

“Pengebom berani mati memasuki kawasan sekolah namun diarahkan untuk tidak mencederakan kanak-kanak dan hanya mensasarkan askar.

“Ini adalah serangan balas terhadap operasi tentera di Utara Waziristan,”katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:55 PM