FOKUS kerjaya daripada memikirkan masalah peribadi.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kemelut rumah tangga yang melanda pelawak dan penyampai radio Hot FM Issey Fazlisham sejak beberapa bulan lalu sedikit pun tidak mengganggu kerja dan rutin hariannya.

Bagi Issey, 29, dugaan adalah perkara biasa dalam kehidupan manusia dan perlu ditangani dengan tenang.

“Pada awalnya saya mengakui terlalu memikirkan masalah ini sehingga tertekan. Ada ketika saya hilang fokus ketika melakukan sesuatu perkara.

“Alhamdulillah, sekarang saya lebih tenang dan tidak serabut seperti dulu. Bagi saya kehidupan perlu diteruskan. Satu kerugian sekiranya saya menjadikan masalah sebagai bebanan sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan,” katanya.

Sambung pengacara program Mentor Milenia ini, dia sedaya upaya tidak mencampuradukkan urusan peribadi dengan kerjaya.

Issey seboleh-bolehnya mahu fokus kerjaya dengan mengosongkan fikirannya daripada memikirkan masalah yang melanda.

“Setiap orang pasti berdepan masalah, cuma ia didatangkan dalam bentuk berbeza. Jadi cara menanganinya juga berbeza. Secara peribadi saya lebih selesa mengambil pendekatan berbincang.

“Saya percaya cara ini sedikit sebanyak boleh membantu menyelesaikan masalah. Jika tidak pun, ia dapat menemukan cara lain.

“Sebagai artis yang tidak terikat dengan satu kerja semata-mata, saya perlu fokus dengan banyak perkara. Jika sudah selesai tugasan, baru saya fikir hal peribadi pula,” katanya.

Sambung Issey, dia menyerahkan segala urusan peribadi kepada ketentuan Ilahi.

“Buat masa sekarang saya ingin fokus tugas di konti radio. Soal lain, saya tolak tepi. Insya-Allah masa akan menentukan segalanya.

“Bukan apa, saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan dunia radio. Alhamdulillah, rakan sekerja banyak berkongsi dan memberi tunjuk ajar,” katanya.

Masih belajar

Mengenai kerjaya seni, Issey yang bakatnya dicungkil menerusi program Bintang Mencari Bintang (BMB) mengakui masih banyak pengalaman perlu ditimba.

Malah akuinya, penilai utama kemampuannya ialah penonton dan pihak produksi.

“Melalui peluang dan ruang diperoleh, saya berusaha memperbaiki kelemahan diri.

“Walaupun sudah tiga tahun dalam bidang ini, kerjaya saya belum stabil. Saya sentiasa mencari peluang baru temasuk menceburi dunia penyiaran radio,” katanya.

Kerjaya baru sebagai penyampai radio dan bergandingan dengan Ammar Titan serta Deen menerusi slot Hot Jam makin mendapat perhatian pendengar.

Malah gabungan trio ini dilihat memberi nafas baru kepada slot itu selepas dua pelawak kumpulan Titan itu mula bersiaran pada awal Mac lalu.

Mengenai lakonan pula, Issey tidak memilih watak kerana ia membolehkan dia meningkatkan kualiti lakonan.

“Sebagai pelakon saya tidak mahu terikat dengan watak tertentu sahaja. Diharap selepas ini saya berpeluang mencuba watak lebih serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:35 AM