Kuala Lumpur: Menepati ramalan, Sapura muncul pasukan pertama berjaya menjulang Piala Tan Sri P Alagendra-TNB apabila menumpaskan Tenaga Nasional Berhad 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Tun Razak, semalam.

Dangerouslee Matthew muncul wira apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan Sapura melalui jaringan padang berpunca daripada serangan balas pantas pada minit ke-53.

Bagaimanapun, TNB terlebih dulu menghadirkan gerun buat Sapura apabila memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-10 namun pukulan yang diambil Syed Syafiq Syed Cholan terkena kaki pertahanan lawan.

Pengadil A Anbanathan memberikan pukulan penalti stroke kepada TNB namun pukulan yang diambil Syed Syafiq berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohammad Hairi Abdul Rahman.

Mengakhiri babak suku pertama, Sapura berjaya memperoleh pukulan sudut penalti pertama dan ia berjaya disempurnakan Firhan Ashaari menumpaskan penjaga gol, S Kumar.

Pada minit ke-43 Shahril Saabah berjaya menjaringkan gol penyamaan buat TNB berpunca dari pukulan sudut penalti dan tujuh minit sebelum tamat Dangerouslee yang juga pemain terbaik perlawanan berjaya menjaringkan gol kemenangan buat Sapura.

Selain berjaya menjulang trofi, Sapura juga berjaya meraih hadiah wang tunai RM70,000 dan TNB selaku naib juara membawa pulang RM30,000.

Hadiah dan trofi disampaikan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:02 AM