Tiga syarikat penerbangan Indonesia larang penggunaan Note 7.
BERNAMA

Jakarta: Dua lagi syarikat penerbangan Indonesia mengikut jejak Garuda Indonesia melarang penggunaan telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 dalam penerbangan.

Menurut Jakarta Post, syarikat penerbangan tambang murah, Citilink Indonesia, anak syarikat Garuda Indonesia dan Lion Air mengumumkan larangan itu hari ini.

Samsung Electronics Co Ltd menggantung penjualan Note 7 minggu lalu, selepas menerima banyak laporan bateri telefon itu meletup.

Jakarta Post memetik jurucakap Lion Air sebagai berkata, syarikat itu akan menunggu perkembangan terbaru Pentadbiran Penerbangan Persekutuan

(FAA) Amerika Syarikat sebelum mengambil tindakan susulan.

Ahad lalu, Garuda Indonesia mengumumkan larangan penggunaan telefon pintar berkenaan susulan amaran keselamatan dikeluarkan FAA Khamis lalu.

“Garuda Indonesia memberi amaran supaya penumpang tidak mengaktifkan telefon pintar berkenaan dalam penerbangan, malah dalam mod kapal terbang atau tidak menghidupkan, mengecasnya atau simpan di dalam bagasi," kata kenyataan media Garuda.

Minggu lalu, FAA mengeluarkan amaran keselamatan itu selepas Samsung menarik balik telefon pintar siri terbaru keluarannya berikutan masalah bateri yang berkemungkinan terbakar atau meletup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:46 PM