NAJMUDDIN ketika taklimat media MRT laluan Sungai Buloh-Serdang -Putrajaya. FOTO Sairien Nafis
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) kekal melantik Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sebagai operator semua perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) meskipun Prasarana berdepan cabaran menguruskan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) sejak kebelakangan ini.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, MRT Corp yang menandatangani perjanjian pelantikan Prasarana sejak Jun lalu sebagai operator menguruskan operasi MRT sepenuhnya dan MRT Corp bertindak sebagai pemilik aset pengangkutan awam berkenaan.

“Kami yakin dengan kebolehan LRT mengendalikan operasinya bukan saja di Malaysia malah di luar negara dan insiden ganggunan LRT yang berlaku dua kali dalam seminggu pada minggu lalu bukan mengambarkan reputasi sepenuhnya Prasarana.

“Malah, perkara ini menjadikan Prasarana perlu bersedia untuk mengendalikan perkhidmatan MRT kelak. Saya pecaya mereka mempunyai pengalaman yang besar serta mampu memberikan hasil yang terbaik sebagai operator dan disebabkan itu kami melantik Prasarana sebagai operator MRT,” katanya pada taklimat media Majlis Pecah Tanah MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di sini, hari ini.

Pada taklimat itu, MRT Corp memberitahu majlis pecah tanah bagi SPP akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di tapak projek MRT berhampiran Putrajaya Sentral pada Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:05 PM