INDRA mengendalikan siri kelas masakan bagi membantu masyarakat mempelbagaikan menu menggunakan baki makanan untuk elakkan pembaziran.
KEMPEN #myhappyplate gesa rakyat Malaysia menghabiskan makanan bagi mengatasi masalah pembaziran.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Nasi lemak, roti canai, chee cheong fun, chicken chop dan sebagainya. Sebutlah apa saja, makanan yang diingini pasti mudah didapati di negara ini.

Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan. Selain menu yang biasa disediakan oleh tiga kaum utama di negara ini - Melayu, Cina dan India - budaya kulinari Malaysia turut dipengaruhi hidangan dari hampir seluruh dunia.

Justeru tidak hairanlah apabila munculnya pelbagai jenis restoran, kafe, warung malah trak makanan bagi memenuhi selera warga tempatan.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan ini, masalah pembaziran dan pencemaran alam disebabkan makanan mula membimbangkan aktivis alam sekitar.

Dengan adanya bermacam promosi hidangan di sana sini, rakyat Malaysia seakan-akan gila membeli pelbagai jenis makanan hingga akhirnya dibuang begitu saja kerana perut tidak mampu lagi menampungnya.

Pembaziran itu satu hal, pencemaran alam pula yang menjadi isunya apabila banyak plastik dan bekas polisterin dibuang selepas makan.

Sana sini kita dapat lihat kerap berlaku pembaziran makanan, lalu membuatkan banyak sampah-sarap memenuhi ruang persekitaran. Nyata ini bukanlah konsep berjimat-cermat atau bersederhana yang sering dilaungkan selama ini.

Berdasarkan kaji selidik pembaziran makanan di rumah yang dijalankan Electrolux, baru-baru ini, 87 peratus isi rumah mengakui pembaziran makanan kini menjadi antara isu besar dalam masyarakat.

Sebanyak 77 peratus isi rumah pula mengakui melakukan pembaziran setiap minggu berikutan terlupa dengan baki makanan yang disimpan di dalam peti sejuk, selain masak terlalu banyak dan kecenderungan membuang baki makanan walaupun masih dalam keadaan elok.

Keadaan tambah buruk apabila 46 peratus isi rumah mengaku tidak menghabiskan baki makanan yang disimpan seperti daging, ikan dan sayuran meskipun ia boleh diolah semula menjadi hidangan berbeza.

Jadi tidak hairanlah apabila penduduk Malaysia dianggarkan membazir sebanyak 456,250 tan makanan setiap bulan sementara 5.5 juta tan setahun.

Justeru Electrolux mengambil inisiatif memperkenalkan kempen #myhappyplate bagi menangani masalah pembaziran ini.

Sempena dengan Hari Makanan Sedunia pada 16 Oktober ini, masyarakat disyorkan menghabiskan makanan kerana pinggan yang kosong membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada dunia.

Pinggan yang kosong kerana makanan berjaya dihabiskan dapat membantu menghindarkan tabiat pembaziran makanan, sekali gus mengurangkan kesan karbon pada alam sekitar.

Bagi memperkasakan lagi masyarakat mengenai kempen ini, Electrolux menganjurkan beberapa siri kelas memasak untuk membantu mengajar cara atau langkah terbaik mengelakkan pembuangan baki makanan.

Diterajui pakar diet dan nutrisi popular, Indra Balaratnam, sesi pertama berjaya dilangsungkan beberapa minggu lalu.

Dalam kelas itu, Indra berkongsi pelbagai idea mengubah suai baki makanan menjadi menu baru antaranya membabitkan nasi, buah dan sayuran.

Hasilnya, paella udang ala Mediterranean, kerabu mangga dan salad ayam panggang berjaya dihidangkan.

“Pakar menganggarkan jumlah pembaziran makanan oleh rakyat Malaysia pada 2020 bersamaan dengan 16 bangunan KLCC yang disusun secara bertingkat.

“Sudah tiba masanya kita perlu lebih beringat dan memberi perhatian kepada masalah pembaziran makanan ini. Kita biasanya menyimpan lebihan makanan dengan niat untuk mengelakkan pembaziran.

“Hakikatnya, itulah cara paling efektif ke arah pembaziran kerana akhirnya baki makanan itu akan dibuang selepas beberapa hari - atas alasan terlupa dan sebagainya.

“Ada juga yang membuang baki makanan atas alasan rosak, namun tidak semua keadaannya begitu. Apa yang cuba saya kongsi dalam kelas masakan ini diharapkan dapat memberi idea kepada masyarakat bagaimana untuk mempelbagaikan baki makanan agar pembaziran dapat dielakkan,” jelas Indra.

Untuk memastikan usaha ini berterusan, Electrolux mensasarkan 1,000 penyertaan keluarga di Malaysia.

“Bagi meneruskan usaha mempromosikan kempen #myhappyplate ini, beberapa siri kelas memasak akan diadakan dan diharapkan ia dapat membantu sekurang-kurangnya 1,000 keluarga mengelakkan masalah pembaziran ini.

“Selain kelas memasak, kami cuba mengembangkan lagi kempen ini di media sosial khususnya Facebook dan kini berjaya mencapai lebih 10,000 like di laman sosial itu,” ujar Pengarah Pemasaran Electrolux Malaysia dan Singapura, Wendy Ho.

Menerusi kempen #myhappyplate di laman Facebook Electrolux (https://www.facebook.com/ElectroluxMalaysia), rakyat Malaysia digesa berikrar untuk memastikan pinggan mereka kosong selepas makan dengan mengambil hidangan secara sederhana dan tidak keterlaluan.

Electrolux Malaysia akan menderma pek makanan mengandungi nasi, susu tepung, minyak dan mi segera ke badan kebajikan untuk setiap ikrar yang disertai like di laman Facebook itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 11:39 AM