NUR Adilah menunjukkan produk coklat keluaran syarikatnya.
SAID (dua dari kanan) bersama rakan kongsi menunjukkan hasil tanaman ladang mereka.
BADRUDDIN (berdiri enam dari kanan) dan Ahmad (berdiri lima dari kanan) bergambar bersama penerima pembiayaan mikro MYAGROSIS.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Empat usahawan berjaya mendapat pembiayaan mikro Kelab Usahawan Siswazah Tani (MYAGROSIS) Agroprenuer Muda bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Mereka ialah Mohd Faris Abdul Salim, 39, (NQ Group Enterprise); Said Mohamad Umar Bichk Koyak, 27, (Berlima Agribiz); Nabihah Karim, 24, (Naqik Cookies) dan Nur Adilah Kamal, 23, (Carlyfa Food Industries). Masing-masing menerima pembiayaan mikro sebanyak RM50,000.

Mohd Faris dari Bachang, Melaka yang menghasilkan perusahaan bawang goreng premium bawah jenama Nuha berkata, pinjaman ini untuk modal pembelian bahan mentah.

“Dengan modal ini, bekalan (bawang goreng) tidak putus kerana mempunyai sumber kewangan. Saya menerima banyak tempahan, namun masalah kewangan menyebabkan pengeluaran terbatas.

“Produk saya turut mendapat permintaan dari Jepun kerana mereka suka makan bawang goreng saya yang rangup dan sedap.

“Saya berterima kasih kepada FAMA yang meluluskan pembiayaan ini. Insya-Allah saya akan menjalankan perniagaan ini sebaik mungkin untuk membayar balik pinjaman.

“Ia bagi membolehkan usahawan lain membuat pinjaman,” katanya, selepas majlis penyerahan replika cek kepada usahawan berjaya mendapat pembiayaan mikro MYAGROSIS Agroprenuer Muda di Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Majlis penyampaian pembiayaan disempurnakan Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin. Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Sementara itu, Badruddin berkata, kesedaran terhadap kepentingan pertanian sebagai enjin ketiga kepada ekonomi negara memerlukan golongan belia dalam menjamin kesinambungan kepentingan sektor ini.

Katanya, sejajar dengan matlamat 2020, keperluan untuk menjana belia yang berilmu sebagai pelapis dan peneraju dalam merealisasikan transformasi pertanian ke arah sektor lebih moden dan berteknologi tinggi.

“Ia menjadi permulaan kepada penubuhan MYAGROSIS. Program ini sebagai pemangkin kepada proses percambahan minat dan pembabitan siswa dan siswi di Universiti Awam (UA) dalam projek agropertanian melalui MYAGROSIS.

“Pemupukan minat, kecenderungan dan pembabitan terus golongan terbabit sebagai pelapis dan pewaris dalam sektor ini akan dapat meneruskan proses transformasi pertanian dan berdaya saing secara global.

“Menjelang 2020, kita menyasarkan 20,000 pelajar UA akan menjadi ahli MYAGROSIS yang akan menjadi kumpulan peneraju dalam pencapaian usaha murni ini,” katanya.

Menurutnya, FAMA menyasarkan 250 usahawan siswazah akan dihasilkan melalui program MYAGROSIS yang didaftarkan pada tahun ini.

Selain itu, beliau mengingatkan usahawan yang mendapat pinjaman mikro supaya membayar balik pinjaman bagi membolehkan orang lain membuat pinjaman.

Dalam pada itu, Badruddin berkata, pihaknya menandatangani nota persefahaman dengan Politeknik sebagai tanda aras dalam membangunkan program keusahawanan khususnya MYAGROSIS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 11:00 AM