MADANI (kanan) merasmikan pelancaran pameran Autoshow Malaysia 2016.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Autoshow Malaysia 2016 mengunjurkan transaksi jualan lebih RM100 juta bagi pameran kali ini dan meningkat sekali ganda berbanding RM53 juta yang direkodkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari berkata, pameran Autoshow Malaysia 2016 akan diadakan pada 10 hingga 13 November ini di Pusat Pameran MINES (MIECC), Seri Kembangan.

Beliau berkata, MAI menggalakkan Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) untuk menyertai pameran bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

“Walaupun separuh pertama tahun ini, pasaran automotif agak perlahan, tetapi untuk beberapa pengeluar kenderaan masih merekodkan jualan baik.

“Namun, pasaran sudah mula positif sejak dua bulan lalu didorong dengan pengenalan model baru dan lebih 180 model akan dipamerkan,” katanya pada sidang media pameran Autoshow Malaysia 2016 di sini, baru-baru ini.

Madani berkata, pihaknya menjangkakan menarik lebih kurang 100,000 pengunjung ke pameran terbabit dan sempena pameran itu, pengunjung bukan saja boleh melihat pelbagai jenis kereta, tetapi juga motosikal, trak, aksesori serta pelbagai lagi ditawarkan termasuk insentif dan diskaun.

Beliau berkata, pengunjung bertuah pula berpeluang untuk memenangi sebuah kereta Kia Rio X 1.4 Sedan bernilai RM78,000 bagi peraduan Beli Kereta Menang Kereta yang ditaja Kia Malaysia.

“Pameran ini sesuai untuk kunjungan keluarga juga kerana pelbagai aktiviti dan hadiah menarik ditawarkan untuk pengunjung termasuk kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 7:15 AM