POLIS menahan seorang pemuda yang merusuh di Bengaluru, semalam.
Reuters

New Delhi: Hab teknologi India, Bengaluru, semalam mengerahkan polis antirusuhan dan melarang perhimpunan awam untuk menghalang penunjuk perasaan yang merusuh selepas perbalahan mengenai bekalan air bertukar ganas, dengan bas serta kereta dibakar dan orang ramai dibaling batu.

Rakaman televisyen menunjukkan kenderaan terbakar dengan orang ramai berhimpun marah, malah polis berkata, rangkaian kereta api metro bandar itu digantung buat sementara waktu.

Keganasan tercetus selepas Mahkamah Agung India mengarahkan negeri Karnataka - di mana Bengaluru adalah ibu negerinya - melepaskan 339.8 meter padu air sesaat dari Sungai Cauvery ke Tamil Nadu sehingga 20 September ini.

Sungai itu menjadi punca perbalahan antara dua negeri berkenaan sejak lebih seabad dan pernah menyebabkan keganasan pada 1991 akibat perintah mahkamah sementara yang mengarahkan Karnataka melepaskan air ke Tamil Nadu mencetuskan rusuhan di Bengaluru, mengakibatkan lebih 18 orang mati.

Polis Bengaluru berkata: “Pasukan Tindakan Pantas sudah dihantar ke seluruh bandar. Kami menggesa semua penduduk Bengaluru supaya bertenang dan tidak panik.”

Selain itu, polis turut melaksanakan undang-undang kecemasan dikenali sebagai Seksyen 144 yang melarang perhimpunan di tempat awam.

Saksi melaporkan melihat sekumpulan 20 hingga 30 penunjuk perasaan - ada antaranya membawa kayu serta batu - berhenti dan memeriksa kenderaan di jalan raya. Beberapa kereta serta lori yang didaftarkan dengan nombor pendaftaran Tamil Nadu dibaling batu.

Polis berkata, lebih 15,000 anggota dikerahkan untuk mengawal keselamatan termasuk polis antirusuhan dan kawalan sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 6:22 AM