PROSES menukar kiswah dilakukan pada 9 Zulhijjah setiap tahun. - Arab News
KOS untuk membuat kiswah tahun ini mencecah RM23.7 juta. - Arab News
Agensi

Makkah: Ketika lebih 1,3 juta jemaah haji berkumpul di padang Arafah untuk berwukuf semalam, Kaabah yang menjadi qiblat umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan solat, mendapat kelambu atau kiswah baru.

Pertukaran kiswah itu adalah antara peristiwa penting setiap kali musim haji.

Proses menukarkan kiswah itu semalam dilakukan kira-kira 90 pekerja dan juruteknik sejurus selepas Subuh.

Berdasarkan sejarah upacara pemasangan kiswah dilakukan sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad (SAW) lagi.

Ada pula yang menyatakan penggunaan kiswah untuk mengelak dinding Kaabah daripada rosak atau tercemar kerana debu atau panas dilakukan sejak zaman Nabi Ismail (AS) lagi.

Sejak itu, bangunan yang didirikan oleh Nabi Ibrahim (AS) itu dibaluti dengan pelbagai jenis kain. Ada juga riwayat yang menyatakan Kaabah itu pernah diselubungi dengan kain yang bukan berwarna hitam pekat. Kelambu pertama dikatakan berwarna merah, kemudian ada yang berwarna putih, hijau dan kuning.

Hanya ketika zaman Dinasti Abbasiyah kiswah itu ditetapkan berwarna hitam.

Sebelum 1920-an, kiswah dibuat di sebuah kilang di Mesir.

Tetapi, kerana pelbagai masalah, termasuk kelewatan untuk kelambu itu tiba tepat pada masanya, bapa permodenan Saudi, Raja Abdulaziz Abdul Rahman Al-Saudi membina kilang Kiswah Kaabah di Jiyad pada 1927.

Kemudian, pada 1977, Raja Fahd Abdulaziz merasmikan pembukaan kilang baru di Ummul Joud dan kilang itu beroperasi sehingga ke hari ini.

Kos menghasilkan kiswah mencecah RM23.7 juta dan ia menggunakan kain sutera berkualiti tinggi yang diimport dari Itali, 120 kilogram benang emas dan 120 kilogram benang perak tulen yang dihasilkan di Jerman.

Untuk menyiapkannya pula, pekerja di kilang berkenaan mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan.

Antara kalimah atau ayat yang tertera pada kiswah itu ialah kalimah syahadah, surah Ali Imran ayat 96, al-Baqarah ayat 144, surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:34 AM