KAMAL menerangkan kepada seorang jemaah haji mengenai kegunaan payung pintar berkenaan. - Gambar Saudi Gazette.

Makkah: Sebahagian jemaah haji mula menggunakan payung pintar dalam mengerjakan ibadah berkenaan.

Selain dapat melindungi diri daripada sinaran terik matahari, payung pintar itu juga mempunyai sistem navigasi dan kipas di samping dilengkapi tiga pengecas USB untuk mengecas telefon bimbit dan peranti elektronik lain.

Payung berkenaan adalah ciptaan bersama jurutera Saudi, Kamal Badawi dan wanita Palestin, Manal Dandis.

Kamal yang sudah sekian lama menjadi sukarelawan haji berkata, payung pintar itu dapat membantu mengesan jemaah yang sesat dalam kesesakan orang ramai kerana ia bersambung dengan telefon pintar.

Kamal juga mencipta ‘Wusul’ atau ‘Ketibaan’ dalam bahasa Arab, sistem aplikasi yang menyenaraikan jalan raya yang tidak boleh dikesan sistem tradisional GPS.

Ia akan membolehkan kumpulan jemaah mencari anggota mereka yang sesat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:34 AM