Milan: Gonzalo Higuain (gambar, tengah) menjaringkan dua gol pada babak pertama termasuk voli hebat apabila Juventus bersiap sedia untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Sevilla dengan kemenangan 3-1 ke atas Sassuolo.

Sassuolo berkunjung ke Turin berharap untuk membina keyakinan menjelang kempen pertama mereka di Liga Europa bulan depan.

Bagaimanapun ketika berdepan Juve yang dianggap mampu menjulang gelaran Liga Juara-Juara, pasukan pelawat kendalian Eusebio Di Francesco begitu mudah ditangani.

Higuain menjaringkan gol selepas minit kelima, apabila pemain Argentina itu menyambut hantaran Paulo Dybala menerusi serangan balas untuk meledak gol melepasi Andrea Consigli untuk gol kedua kempen musim ini.

Higuain, yang mencatat rekod gol Serie A dengan 36 gol bersama Napoli musim lalu sebelum berpindah, menjaringkan gol kedua lima minit kemudian apabila merembat voli hebat melepasi Consigli berikutan tandukan Sami Khedira.

Higuain terlepas hatrik menerusi serangan balas apabila hantaran Dybala berjaya dipatahkan.

Namun Juve mendahului 3-0 pada minit ke-27 apabila Miralem Pjanic, yang dibawa masuk dari Roma pada musim perpindahan, menyambut bolanya yang melantun untuk rembatan melepasi Consigli dari jarak dekat pada penampilan pertamanya.

Biarpun kesilapan Gianluigi Buffon sewaktu sepakan sudut Sassuolo membolehkan Luca Antei menjaringkan gol dari jarak dekat, skuad gergasi Turin itu masih berjaya meraih kemenangan ketiga musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:15 AM