Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Smart Reader Worldwide Sdn Bhd (Smart Reader Worldwide) penyedia perkhidmatan pendidikan kanak-kanak prasekolah, Smart Reader bakal meneroka pasaran Pakistan dan Nigeria menjelang akhir 2017, sekali gus membantu syarikat itu memperluaskan perniagaan francaisnya di peringkat antarabangsa.

Ketika ini, Smart Reader mempunyai 300 cawangan di pasaran tempatan dan beroperasi di enam negara asing antaranya China, Australia dan Qatar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Richard Ong berkata, Pakistan dan Nigeria mempunyai potensi besar untuk diterokai dalam industri pendidikan awal kanak-kanak memandangkan negara berkenaan dalam kategori pasaran membangun.

Beliau berkata, modul dan silibus pembelajaran Smart Reader yang memenuhi standard pendidikan awal kanak-kanak antarabangsa membolehkan jenama itu mendapat perhatian dari rakan niaga di kedua-dua negara berkenaan.

“Smart Reader bukan saja satu entiti perniagaan dalam segmen francais yang membantu orang ramai menjadi usahawan dalam industri ini, malah menawarkan perkhidmatan pendidikan terbaik untuk kanak-kanak.

“Kita juga melihat industri pendidikan kanak-kanak sentiasa berkembang dan mendapat permintaan tinggi setiap tahun walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Smart Reader Worldwide mencatatkan perolehan RM60 juta pada tahun lalu dan diunjurkan meningkat kepada sekitar RM80 juta pada tahun ini bersandarkan aktiviti menerokai pasaran asing serta membuka lebih banyak cawangan di pasaran domestik.

Dari segi angka pendaftaran murid, pada tahun lalu, syarikat berkenaan mencatatkan 19,000 pendaftaran dan dijangka mampu meningkat kepada 20,000 murid pada tahun ini.

Richard berkata, pada tahun ini, pihaknya bercadang membuka 10 cawangan baru di Sabah dan Sarawak yang mana semua cawangan itu akan diberikan kepada francaisi tempatan.

Katanya, ketika ini lebih 90 peratus cawangan Smart Reader dimiliki francaisi dan pihaknya sentiasa membuka peluang kepada usahawan untuk menyertai perniagaannya.

“Minat menjadi perkara utama dalam perniagaan ini selain modal kerana kita memerlukan usahawan yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak yang belajar di Smart Reader.

“Dari segi modal permulaan mereka perlu membayar antara RM250,000 hingga RM300,000 bagi membuka satu cawangan dan pulangan modal (ROI) sekitar antara dua hingga tiga tahun serta royalti 20 peratus dikenakan bagi setiap pendaftaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 7:21 AM