Agensi

Makkah: Kaabah yang menjadi qiblat solat umat Islam seluruh dunia mendapat kelambu atau kiswah baru hari ini.

Pertukaran kiswah antara peristiwa penting setiap kali musim haji dan proses menukar kiswah hari ini, dilakukan kira-kira 90 pekerja dan juruteknik sejurus selepas Subuh.

Berdasarkan sejarah, upacara pemasangan kiswah dilakukan sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad (SAW) untuk mengelak dindingnya rosak atau tercemar kerana debu atau panas sejak zaman Nabi Ismail (AS).

Kaabah yang didirikan Nabi Ibrahim (AS) itu dibaluti dengan pelbagai kain dan ada riwayat menyatakan Kaabah diselubungi kain pelbagai warna dengan kelambu pertama dikatakan merah, kemudian ada berwarna putih, hijau dan kuning.

Hanya ketika zaman dinasti Abbasiyah kiswah itu ditetapkan berwarna hitam.

Kos menghasilkan Kiswah mencecah RM23.7 juta, menggunakan kain sutera berkualiti tinggi yang diimport dari Itali, 120 kilogram benang emas dan 120 kilogram benang perak tulen yang dihasilkan di Jerman.

Pekerja kilang di Ummul Joud, mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk menyiapkannya.

Antara ayat yang tertera pada kiswah ialah kalimah syahadah, surah Ali Imran ayat 96, al-Baqarah ayat 144, surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 7:12 PM